Wednesday, April 15, 2009

NIKMAT ITU MENGASYIKKAN.............

Utbah bin Khazwan radhiyallahu ‘anhu, seorang sahabat, pada zaman Khulafaur Rasyidin, ia menjadi gabernor Basrah. Suatu ketika di hadapan rakyatnya ia berkhutbah:

“Sesungguhnya dunia telah memberimu peringatan akan sifatnya yang tidak kekal (habis dan rusak), berlalu terus dengan cepat, tiada yang baqi dari padanya, kecuali seperti sisa air pada cerek yang dituangkan pemiliknya, dan kita akan kembali ke tempat yang tiada penghujungnya. Maka kembalilah kesana dengan sebaik-baik bekalan yang ada padamu.
Telah dikabarkan, bahawa jika sebuah batu dilemparkan ke dalam neraka Jahannam, maka sehingga tujuh puluh tahun, batu itu belum juga sampai ke dasarnya. Demi Allah neraka itu akan dipenuhi. Adakah kamu hairan?
Juga dikabarkan, bahawa jarak di antara dua ambang pintu surga seluas perjalanan empat puluh tahun. Tetapi pada suatu hari, akan terjadi kesesakan orang berjalan.
Dahulu, ketika kami tujuh orang bersama Rasulullah saw, tiada makanan kecuali daun-daun pepohonan sahaja yang ada, sehingga luka bibir-bibir kami kerana memakannya. Saya pernah memotong dua, selembar kain untuk kami guna sebagai kain sarung dengan Sa’ad bin Malik. Tetapi kini, tiada seorang dari kami melainkan sudah menjadi gabernor di suatu daerah. Dan saya berlindung kepada Allah, janganlah sampai saya memandang diri saya besar, padahal sebenarnya dalam pandangan Allah adalah kecil.”

Utbah tidak melupakan masa lalunya, ia terus mengenang berbagai kesusahan yang pernah dirasakan oleh para penggerak awal dakwah Islam di Makkah; pemboikotan Kuffar Quraisy, penyiksaan oleh mereka, kesempitan ekonomi yang menimpa, kehidupan yang serba dalam kekurangan. Dahulu tak terbayangkan bila agaknya penderitaan akan berakhir. Jauh sekali membayangkan berbagai kenikmatan dunia seperti yang dinikmati kini.

Utbah mengingati perjalanan masa lalu. Dalam kesusahan, para sahabat radhiyallahu ‘anhum terus berjuang, memperluas jangkauan dakwah, penduduk Madinah beramai-ramai memeluk Islam.

Hijrah kaum muslimin ke Madinah menjadikan kedudukan mereka menjadi kuat, sebagai umat yang berdaulat, dakwah pun semakin meluas, dan akhirnya kekuatan Islam kembali menguasai Makkah. Kaum muslimin gembira dapat kembali menakluki Makkah dengan laungan takbir.

Setelah Rasulullah saw tiada, gerakkan Islam bukan surut, malah semakin menyebar ke negeri-negeri jirannya, satu persatu mengisytiharkan memeluk Islam. Kaum muslimin menjadi suatu kumpulan yang lengkap dari berbagai suku bangsa, warna kulit, bahasa dan beragam budaya. Kerajaan Parsi juga tunduk. Ketika itulah Utbah mendapat amanah memimpin Basrah sebagai Gabernor.

Kenikmatan…., memang melenakan, bukan sedikit manusia yang terperangkap dengan ujian yang satu ini.

“Barangsiapa menghendaki balasan segera (duniawi), maka Kami akan segerakan apa yang Kami mahu bagi sesiapa yang kami kehendaki di dunia ini, kemudian Kami tentukan baginya neraka jahannam; ia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir.” (S. Al Isra’:18)

Kebahagiaan duniawi yang dirasa manusia dan membuatnya lalai, sebenarnya adalah awal azab Allah di akhirat.

Kenikmatan sering menjadikan manusia lupa akan sejarah hidupnya, lupa betapa dahulu ia miskin, bersusah payah untuk berdiri, kehidupan saling tolong menolong yang ia dapat telah menjadikannya mampu menghadapi penderitaan dan mudah mencapai tangga-tangga kejayaan. Pertolongan-pertolongan Allah melalui malaikat, melalui saudara-saudara kaum muslimin telah menguatkannya untuk terus melangkah menuju kejayaan, kejayaan itu kini, membuat manusia buta. Lupa bahawa ia dibesarkan bukan oleh dirinya sendiri.

Allah berfirman tentang Qarun yang berkata:

“Sesungguhnya aku diberi harta itu, hanyalah kerana ilmu yang ada padaku….” (S. Al Qashash:78)

Kenikmatan juga sering menjadikan manusia lupa misinya. Bertahun-tahun melalui hidup dalam kesusahan, sanggup bertahan dengan prinsip, berjuang memerah keringat, menitiskan darah, sekian lama dengan sabar melangkahi anak-anak tangga kejayaan sedikit demi sedikit, dengan harap-harap cemas dan beribu do’a. Namun, ketika ia telah sampai di puncak kenikmatan dan kedudukan yang tinggi, ia lupa untuk apa sebenarnya ia bersusah payah mendaki selama ini.

Kenikmatan membuat seseorang menjadi besar kepala. Menganggap dirinya hebat, kuat, banyak jasa. Melihat manusia-manusia lain kecil dalam pandangannya, tiada nilai dalam perhitungannya, lalu tak perlu dihargai pendapat-pendapatnya.

Semua ini adalah bencana, awal azab Allah dalam bentuk kenikmatan dunia. Utbah menyedari akan ancaman ini, ia berkata: “Saya berlindung kepada Allah, jangan sampai saya melihat diri saya besar padahal dalam pandangan Allah kecil.”

Rasulullah saw, sebagai peribadi contoh, telah mengalami mi’raj, suatu kenikmatan tiada banding, Baginda berjumpa para nabi; Adam, Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa alaihimus salaam. Sepanjang perjalanan Baginda ditemani oleh Jibril, Baginda menyaksikan surga dan akhirnya menghadap Allah untuk menerima shalat.

Seorang Sufi berkata: “Kalau aku mi’raj, tentu aku tak akan kembali ke dunia ini lagi….” Tetapi Baginda saw kembali, untuk menyibukkan diri lagi dengan permasalahan umat, yang menghimpit dadanya dan mengancam keselamatan nyawanya, kerana, itulah misi sebenarnya, yang memang mesti ia jayakan.

Semoga bermanfaat!

Ilal liqa'

0 comments:

 
Copyright HIKMAH-BINTULU © 2008 Free Blogger Template By Cool Stuff Blog