Friday, January 30, 2009

QALBU

Tentang qalbu, Rasulullah saw ada menyebut, di antaranya;

‘Ketahuilah sesungguhnya dalam jasad itu ada segumpal daging, jika ia baik, maka baiklah seluru jasad, dan jika ia rusak, maka rusaklah seluru jasad. Ketahuilah itulah qalbu.’

Kita sudah terbiasa membahasakan qalbu dengan hati. Hati mempunyai kedudukan yang begitu mulia, kerana dengannyalah manusia mengenali Allah.Dari hadis tadi dapat difahami bahawa hati pendorong lahirnya amal, gerak kerja atau perjuangan. Beruntunglah yang punya hati baik, langkah hidupnya juga baik, ada takwa, ada dakwah ada harakah. Begitulah sepatutnya. Kalau tidak, tentu ia berbohong, masakan hatinya baik, gerak anggotanya tidak baik? Kalau gerak kerjanya tak baik, itu tanda hatinya sedang ada masalah, kan ?

Hati, terdedah kepada dua tarikan yang saling berlawanan. Ia menerima yang baik atau hidayah, dan tidak menolak nafsu syahwat. Keduanya berusaha untuk merayu hati, merebutnya dan menguasainya. Jadi, di dalam hati selalu ada peperangan yang tiada berkesudahan. Jika hati mengingati Allah, hidayah menang, syaitan lari lintang pukang. Tetapi jika sebaliknya, hati lalai, jauh dari Allah, maka bersaranglah di hati itu syaitan. Kalau berterusan keadaan ini, lagi berbahaya, pemilik hati itu boleh menjadi syaitan. Allah suruh kita berlindung kepada-Nya dari bencana ini!

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia.
"Yang Menguasai sekalian manusia,
"Tuhan Yang berhak disembah oleh sekalian manusia,
"Dari kejahatan pembisik penghasut Yang timbul tenggelam,
"Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke Dalam hati manusia,
"(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia". (S. An Nas)


Nabi saw pula memberi petunjuk agar kita sentiasa hidup dalam jamaah, untuk menghindari terkaman syaitan.

”Sesungguhnya yang dimakan oleh serigala hanyalah kambing yang terpisah dari kawanannya.”

Kita diumpamakan dengan kambing, sedang serigala adalah syaitannya. Hidup berjamaah bererti hidup dalam suasana tarbiyah yang berterusan, suasana tilawah Al- Quran, suasana mengkaji ilmu dan latihan pelaksanaan Islam yang syumul yang kita kaji, suasana saling ingat mengingati, suasana memelihara ukhuwwah, suasana berkorban, membincangkan kerja-kerja dakwah, membangun ummah, suasana shaleh dan baik-baik belaka yang menjadikan diri kita sentiasa online dengan Allah hinggalah kita menjumpai-Nya dalam keadaan husnul khatimah. "Ya Allah! Janganlah Engkau palingkan qalbu-qalbu kami setelah Engkau memberinya hidayah dan beri kami rahmat dari sisi-Mu ya Allah! Tuhan Yang Maha Memberi."

"Ya Allah! Tuhan Yang Berkuasa membolak-balikkan qalbu-qalbu, Tetapkan qalbu kami dalam agama-Mu, dalam ketaatan kepada-Mu!"

Aamiin

Thursday, January 29, 2009

'IZZAH

Al Kisah, Hakim bin Hizam, sahabat Nabi saw. Ia seorang yang baik, cuma adalah kekurangannya, iaitu ia suka meminta. Jika diberi, selalu merasa kurang puas hati.
Pada suatu hari ia mendatangi Rasulullah saw untuk meminta sesuatu. Baginda memberinya. Tidak berapa lama, ia datang lagi untuk meminta yang lain. Baginda sekali lagi memberi apa yang dimintanya dan berkata: “Wahai Hakim! Sesungguhnya harta itu memang indah dan manis, barang siapa mengambilnya dengan kelapangan hati, ia akan diberi keberkatan, sebaliknya, jika ia menerimanya dengan tamak, tiadalah keberkatan padanya. Seperti orang makan yang tidak kenyang-kenyang, dan tangan yang di atas adalah lebih baik dari tangan yang di bawah.”

Mendengar nasihat itu Hakim tunduk merenungi dirinya, ia pun sedar akan kesalahan dirinya selama ini, lalu berkata: “Ya Rasulullah! Demi Allah yang mengutusmu dengan haq, saya tidak akan menerima apapun dari seseorang sepeninggalmu hingga aku berpisah dengan dunia ini.”

Hakim bertaubat dari perangai buruknya, ia pun berubah menjadi peribadi yang berdikari, tidak lagi mahu meletakkan tangan di bawah, meminta-minta kepada orang lain.

Pada zaman Khalifah Abu Bakar ash Shiddiq, duit Baitul Mal berlimpah, Khalifah memanggil Hakim untuk memberinya bantuan, tetapi Hakim enggan menerima sesuatu pun.

Pada zaman Khalifah Umar, Hakim disenarai sebagai penerima bantuan Baitul Mal, tetapi ia pun menolak menerimanya. Sehingga Umar berkata kepada kaum muslimin: “Saya bersaksi kepada kamu semua bahawa saya memperuntukkan bagi Hakim harta bahagiannya, tetapi ia menolak menerimanya.”

Hakim tetap tidak mahu menerima pemberian dari seseorang pun sehinggalah ia meninggal dunia.

Keikhlasan beramal selalunya beriringan dengan sikap menyerahkan segala sesuatu kepada Allah, bukan kepada yang lain-Nya. Shalatnya, ibadatnya, hidupnya,dan matinya adalah bagi Allah Tuhan sekalian alam.

Mampu berdikari (Qadirun alal kasbi), di antara ciri keperibadian yang menjadi target tarbiyah, dan bagi peribadi pejuang Islam, ia merupakan asas penting bagi tegaknya sikap ‘Izzah”.

Dalam hidup berjamaah, sikap ingin menolong, memberi dan membantu kesusahan ikhwah, sahabat-sahabat lain mesti ditanamkan pada setiap individu yang ingin bergabung.

Dalam hidup berharakah, menghidupkan dakwah dan hidup bersama dakwah, perlu menjadi asas melangkah dan bergerak setiap individu.

Tarbiyah Rasulullah saw, begitu berkesan pada diri Hakim, ia menjadi peribadi yang memelihara izzah sehinggalah ia menjumpai Khaliqnya.
 
Copyright HIKMAH-BINTULU © 2008 Free Blogger Template By Cool Stuff Blog