Thursday, October 8, 2009

TAWAKKAL

“Tenangkan dirimu!, apa yang menjadi urusan Allah (mencukupkan rezki untukmu), itu bukan kerja kamu.”

Esok nak makan apa?, Nak kahwin, wang dari mana? Kalau punya anak, macam mana nak bagi makan?, Kalau dah ada anak banyak, kena beli rumah pula, kena ada kereta besar pula? Dari mana nak dapat duit? Dan untuk pendidikan mereka kalau dah besar nanti, macam mana pula?

Memikirkan berbagai perkara yang belum terjadi seperti di atas akan melahirkan kerisauan di dalam fikiran dan jiwa manusia, itu jika dibiarkan akan membuka peluang bagi syaitan menghakis keimanan dan melemahkannya.

Ketahuilah bahawa semua keperluan itu adalah urusan Allah, Dia yang telah menciptakan segala makhluk, Dia juga telah menyediakan untuk semua makhluk itu rezkinya.

6. dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk Yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah Yang memberi rezkinya”. (S. Hud/11)

Jadi janganlah risau, apa yang perlu ialah kembali kepada Allah, bertawakkal kepada-Nya dengan sebenar-benar tawakkal, pasti Dia akan selesaikan apa-apa yang merupakan urusan-Nya.

Rasulullah saw telah bersabda:

لو انكم تتوكلون على الله حق توكله لرزقكم كما يرزق الطير نغدوا خماصا وتروح بطانا

“Seandainya kamu semua bertawakkal kepada Allah dan berserah diri sepenuhnya, maka kamu akan mendapat rezki sepertimana burung-burung mendapatkannya, di waktu pagi dalam keadaan lapar dan kembali dalam keadaan perut kenyang”. (HR. Imam Tirmizi)

Allah juga berfirman


3. Dan (ingatlah) Barangsiapa yang bertawakkal (berserah diri) kepada Allah, maka Dia akan mencukupi keperluannya”.. (S. ath Thalaq/65)

Itulah keyakinan, asas yang kukuh, untuk dijadikan prinsip hidup, yang dengannya akan akan didapati ketenangan.

Dengan ketenangan jiwa itulah, kehidupan dibina berpandukan ajaran Allah dan tauladan Rasul-Nya, hingga ke garis penamat! Ke hari perjumpaan dengan Allah. Itulah sebenarnya erti kebahagiaan, selain di dunia, juga di akhirat yang merupakan cita-cita setiap manusia.

Allah berfirman:


27-30. "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaKu yang berbahagia - dan masuklah ke dalam syurgaKu! "(S. al Fajr/89)

Allah berfirman:

“Sesungguhnya Allah itu tidak akan mengingkari janjinya”.

“Rasulullah saw. Bersabda, Allah Taala berfirman:

“Aku sesuai dengan persangkaan hamba-Ku terhadap-Ku dan Aku selalu bersamanya ketika dia mengingat-Ku. Apabila dia mengingat-Ku dalam dirinya, maka Aku pun akan mengingatnya dalam diri-Ku. Apabila dia mengingat-Ku dalam suatu jamaah manusia, maka Aku pun akan mengingatnya dalam suatu kumpulan makhluk yang lebih baik dari mereka. Apabila dia mendekati-Ku sejengkal, maka Aku akan mendekatinya sehasta. Apabila dia mendekati-Ku sehasta, maka Aku akan mendekatinya sedepa. Dan apabila dia datang kepada-Ku dengan berjalan, maka Aku akan datang kepadanya dengan berlari.”

Di antara serangan Iblis terhadap manusia ialah menanamkan rasa takut dan bimbang yang berlebihan, sehingga manusia terkena penyakit “Wahn” iaitu cinta dunia dan bencikan mati. Maka bermulalah ia memberi bahagian masa yang lebih untuk dunianya, memikirkan dunia, mencintai harta benda secara berlebihan dan mengejarnya, sehingga lupa Tuhan, lalu meninggalkan kewajipan dan lari dari tanggung jawab.

Rasulullah saw bersabda:

“Syaitan duduk menghalang anak Adam dalam tiga tempat; Ia duduk menghalanginya dari memeluk Islam. Ia berkata: “Adakah engkau mahu memeluk Islam dan meninggalkan agamamu dan agama datuk nenekmu? Tetapi ia tidak peduli dan memeluk Islam. Kemudian syaitan duduk pula menghalanginya dari berhijrah dengan berkata: “Adakah engkau hendak berhijrah?, mana boleh engkau meninggalkan tanah air dan langitmu? Tetapi ia tidak menghiraukan dan berhijrah. Kemudian syaitan duduk pula menghalanginya dari berjihad. Ia berkata: “Adakah engkau akan berjihad? (Adakah patut) engkau merosakkan diri dan harta sendiri?, kelak engkau bertarung dan terbunuh, isterimu dikahwini orang dan harta-hartamu dibahagi-bahagikan. Tetapi ia tidak pedulikan dan ia pun berjihad. Rasulullah saw menyambung sabdanya: “Maka barangsiapa yang (teguh pendirian) berbuat demikian maka wajiblah Allah memasukkannya ke dalam surga.” (HR. Nasa’i)

Miliki kemahuan keras untuk selamat dunia akhirat, jangan terpedaya dengan rayuan syaitan, dan lawan kehendak nafsu dengan perkara-perkara berikut:

1. Perbanyak dzikrullah

2. Isi kehidupan dengan pengabdian kepada Allah hingga ajal menjemput.

3. Sedarilah bahawa Allah telah menyediakan rezki untuk semua makhluk-Nya.

4. Sesungguhnya dunia adalah tempat persinggahan sementara.

5. Dunia akan fana.

6. Kita diciptakan Allah agar menjadi hamba kepada-Nya.

7. Serahkan segala permasalahan hidup kepada Allah, semua akan selesai.

8. Rezki, ajal, ketentuan baik atau buruk setiap diri kita sudah ditentukan oleh Allah.

9. Bertakwalah kepada Allah dimana pun kamu berada, niscaya Dia memberi jalan keluar.

10. Iringi setiap usaha dengan do’a, niscaya Allah akan memberi pertolongan-Nya.

11. Segala musibah adalah dengan izin Allah, tentu ada hikmahnya, terimalah dengan ridha.

Fikirkan apa yang mesti kau buat untuk mendapat janji Allah, kebahagiaan di akhirat, jangan kau menyibuk memikirkan apa yang sudah Allah sediakan untuk kehidupanmu di dunia!

Wednesday, October 7, 2009

BERSERAH DIRI KEPADA ALLAH

“Maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah”. (S. Luqman/31:33)

Di antara penghalang ma’rifatullah ialah penyakit hati berupa kesombongan.

Kesombongan sudah dikenali sejak zaman penciptaan manusia pertama iaitu Adam as.

Allah berfirman: 34. dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir. (S. Al Baqarah/2) 12. Allah berfirman: "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (Wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah." (S. al A’raf/7)

Bermula dari merasa diri mulia, lalu merasa diri melebihi orang lain, lalu diiringi dengan menganggap orang lain lebih hina. Maka lengkaplah untuk disebut takbur atau sombong.

Padahal Allah-lah yang memberinya kemuliaan. Bahkan kejadian dirinya itu adalah kehendak dari Allah. Bukan hasil usaha dari dirinya sendiri.

Kesombongan menutup hati pemiliknya untuk menyedari hakikat diri, hakikat Pencipta yang memberinya segala nikmat, termasuklah apa yang dianggapnya sebagai kemuliaan diri. Itulah kekufuran yang membawa kepada kehinaan.


13. Allah berfirman: "Turunlah Engkau dari syurga ini, kerana tidak patut Engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, Sesungguhnya Engkau dari golongan Yang hina".(S. al A’raf/7)

Selain Iblis, Allah menceritakan kisah seorang manusia bernama Qarun.

76. Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: "Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu). (S. al Qashash/28)


78. Qarun menjawab (dengan sombongnya): "Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian Yang ada padaku". (S. al Qashash/28)


81. lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah ia mendapat sebarang golongan Yang boleh menolongnya dari azab Allah" dan ia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri. (S. al Qashash/28)

Mengobati penyakit sombong.

Ingatlah bahawa segala sesuatu itu adalah milik Allah, apa yang manusia miliki adalah dari Allah, maka bersyukur kepada Allah atas segala nikmat-Nya, itulah sikap yang mesti ada.

Bersyukur kepada-Nya ialah dengan mentauhidkan-Nya, tidak menyekutukan-Nya dengan yang lain, mengutamakan-Nya dan berserah diri kepada-Nya.

Allah telah menceritakan kisah hamba-Nya Nabi Sulaiman as. Ia diberi banyak nikmat, menguasai berbagai bahasa, manusia, haiwan bahkan makhluk halus seperti jin dan lainnya. Ia juga diberi kekayaan luar biasa, bahkan juga memiliki kekuasaan yang luas. Ia sedar bahawa semua itu adalah kehendak dan karunia Allah. Ia tidak pernah merasa sombong, kerana yakin bahawa tanpa pertolongan Allah manusia tak berharga sama sekali. Segala nikmat itu tidak membuatnya lupa, bahkan tambah mengingatkannya lagi kepada Yang memberi nikmat iaitu Allah.

berkatalah ia (Nabi Sulaiman as.): "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana Sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah". (Surah an Nml/27:40)

Tuesday, May 26, 2009

Menghormati Guru

Ilmu amat tinggi kedudukannya di dalam Islam. Demikian pula mereka yang mengajarkan dan menyebarkan ilmu

Setiap akhir masa pengajian, atau satu peringkat tarbiyah, lahir dari rahim pendidikan, orang-orang berilmu ke dunia; samada peringkat rendah atau peringkat tinggi, termasuklah para sarjana dan golongan professional. Namun berapa banyakkah dari mereka dikira murid yang menghormati guru-guru mereka?.

Di zaman kini, Tak sedikit orang pandai, namun banyak yang lupa, seolah-olah kepandaian dan kekayaan ilmunya menjadi dengan sendirinya tanpa sentuhan dan doa para guru-guru mereka yang mengajarkan secara ikhlas.

Islam sangat menganjurkan agar umatnya menghormati para ulama dan guru-guru mereka.

Dalam kitab Ta'lim Muta'allim dijelaskan bagaimana cara menghormati guru, di antaranya; tidak boleh berjalan di depan gurunya, tidak duduk di tempat yang diduduki gurunya, bila dihadapan gurunya tidak memulai pembicaraan kecuali atas izinnya. Murid mestilah mendapatkan ridha dari gurunya.

Rasulullah shallallahu alaihi wasallam (SAW) bersabda:

“Pelajarilah ilmu, pelajarilah ilmu dengan ketenangan dan sikap hormat serta tawadhu’lah kepada orang yang mengajarimu.”

Ilmu tidak akan dapat diperoleh secara sempurna kecuali dengan diiringi sifat tawadhu’ murid terhadap gurunya, karena keridhaan guru terhadap murid akan membantu proses penyerapan ilmu, tawadhu’ murid terhadap guru merupakan cermin ketinggian sifat mulia si murid.

Sikap tunduk murid kepada guru justru merupakan kemuliaan dan kehormatan baginya. Perilaku para sahabat, yang memperoleh tarbiyah langsung dari Rasulullah SAW patut dijadikan contoh.

Ibnu Abbas, sahabat mulia yang amat dekat dengan Rasulullah mempersilahkan Zain Bin Tsabit, untuk naik di atas kendaraannya, sedangkan ia sendiri yang menuntunnya.
“Beginilah kami diperintahkan untuk memperlakukan ulama kami”, ucap Ibnu Abbas. Zaid Bin Tsabit sendiri mencium tangan Ibnu Abbas. “Beginilah kami diperintahkan untuk memperlakukan ahli bait Rasulullah,” balas Zaid.

Orang-orang terdahulu sangat hormat terhadap ulama mereka. Terhadap Said bin Musayyab, faqih tabi’in, orang-orang tidak akan bertanya sesuatu kepadanya kecuali meminta izin terlebih dahulu, seperti layaknya seseorang yang sedang berhadapan dengan khalifah.

Sifat ini juga diikuti oleh para ulama. Imam Abu Hanifah sebagai contoh sangat menghormati gurunya. Beliau pernah berkata: “Aku tidak pernah shalat setelah guruku, Hammad, wafat, kecuali aku memintakan ampun untuknya dan untuk orang tuaku”.

Perbuatan ini diikuti juga oleh Abu Yusuf. Murid Abu Hanifah, ia selalu mendoakan Abu Hanifah sebelum mendoakan kedua orang tuanya sendiri.

Pengormatan Imam As Syaf’i kepada guru beliau Imam Malik, juga merupakan pelajaran. Imam Syafi’I pernah berkata: “Di hadapan Malik aku membuka lembaran-lembaran dengan sangat hati-hati, agar jatuhnya lembaran kertas itu tidak terdengar”. Rabi’, murid Imam As Syafi’i juga tidak ingin gurunya itu melihatnya ketika sedang minum,

Abdullah, putra dari Imam Ahmad bertanya kepada ayahnya. “Syafi’i itu seperti apa orangnya, hingga aku melihat ayah banyak mendoakannya?”. “Wahai anakku, Syafi’i seperti matahai bagi dunia..”, jawab Ahmad bin Hanbal. Sebagaimana disebutkan beberapa riwayat, bahwa selama tiga puluh tahun Imam Ahmad mendoakan dan memintakan ampunan untuk guru beliau Imam As Syafi’i.

Dengan guru beliau yang lain pun demikian. Imam Ahmad pernah berguru juga kepada Husyaim bin Bashir Al Wasithi selama lima tahun. ”Aku tidak pernah bertanya kepadanya, kecuali dua masalah saja karena rasa hormat.”

Sikap hormat dan tawadhu’mereka kapada para guru amat tinggi, bahkan dalam berdoa sendiri mereka mendahulukan para guru, baru kemudian orang tua. Kenapa dimikian?

Imam Al Ghazali menjelaskannya dalam Al Ikhya’ (1/55). ”Hak para guru lebih besar daripada hak orang tua. Orang tua merupakan sebab kehadiran manusia di dunia fana, sedangkan guru bermanfaat bagi manusia untuk mengarungi kehidupan kekal. Kalaulah bukan karena jeri payah guru, maka usaha orang tua akan sia-sia dan tidak bermanfaat. Karena para guru yang memberikan manusia bekal menuju kehidupan akhirat yang kekal”.

Ketika ini, adab yang dicontohkan oleh para ulama tadi hampir pupus karena terkikis oleh kebodohan, sehingga tidaklah heran jika ada pencari Ilmu yang mencela gurunya sendiri, dikarenakan berbeda pendapat dalam masalah furu’. Sejauh apapun perbedaan kita, guru tetaplah guru. Nah, mudah-mudahan kita tidak termasuk dari golongan yang seperti ini.

Sumber, http://www.hidayatullah.com

Sunday, April 26, 2009

NIKMAT MASA

Salah satu perangai buruk yang mesti dihindari seorang Muslim adalah menunda pekerjaan. Orang yang suka menunda-nunda pekerjaan, biasanya beranggapan masih ada hari esok untuk melakukan pekerjaan yang sepatutnya ia lakukan hari ini. Ia tidak menyedari bahawa tidak ada jaminan bagi seseorang untuk dapat bertemu dengan hari esok.
Rasulullah SAW bersabda,

''Gunakanlah lima perkara sebelum datang lima lainnya; masa mudamu sebelum masa tuamu, masa hidupmu sebelum datang kematianmu, masa lapangmu sebelum masa sibukmu, masa sihatmu sebelum masa sakitmu, dan masa kaya sebelum masa miskinmu.'' (HR Hakim).

Itulah nasihat Rasullullah SAW kepada kita agar tidak menunda-nunda pekerjaan. Karena menunda pekerjaan merupakan awal dari timbulnya permasalahan.
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW berpesan,

''Bersegeralah kamu sekalian melakukan amal-amal yang shaleh, karena akan terjadi suatu bencana yang menyerupai malam yang gelap gulita, di mana ada seseorang pada pagi hari ia beriman tetapi pada petangnya ia kafir, pada petang hari ia beriman tetapi pada paginya ia kafir; ia rela menukar agamanya dengan satu kesenangan dunia.'' (HR Muslim).

Ada beberapa sebab mengapa menunda-nunda pekerjaan itu ditegah.
Pertama, kita tidak mengetahui adakah kita masih hidup pada esok hari.
Kedua, tiada jaminan esok kita masih diberi nikmat kesehatan, memiliki masa lapang seperti hari ini.
Ketiga, menunda-nunda pekerjaan baik, menyebabkan seseorang terbiasa melakukannya, itu kemudian akan menjadi suatu kebiasaan buruk yang susah dihilangkan.

Masa akan terus berlalu. Saat, menit, lalu jam, kemudian hari, begitu seterusnya. Siang dan malam pun datang silih berganti. Allah SWT berfirman,

''Dan Dialah yang menjadikan malam dan siang silih berganti bagi orang yang ingin mengambil pelajaran atau orang yang ingin bersyukur.'' (QS 25:62).

Bersyukur terhadap nikmat Allah SWT dalam hal ini, boleh diertikan dengan memanfaatkan masa yang ada dan kesempatan yang telah dianugerahkan. Maka, sungguh sungguh sangat merugi orang yang telah diberikan nikmat masa dan kesempatan lalu dia tidak segera memanfaatkannya, malah mensiakannya.

Wednesday, April 15, 2009

NIKMAT ITU MENGASYIKKAN.............

Utbah bin Khazwan radhiyallahu ‘anhu, seorang sahabat, pada zaman Khulafaur Rasyidin, ia menjadi gabernor Basrah. Suatu ketika di hadapan rakyatnya ia berkhutbah:

“Sesungguhnya dunia telah memberimu peringatan akan sifatnya yang tidak kekal (habis dan rusak), berlalu terus dengan cepat, tiada yang baqi dari padanya, kecuali seperti sisa air pada cerek yang dituangkan pemiliknya, dan kita akan kembali ke tempat yang tiada penghujungnya. Maka kembalilah kesana dengan sebaik-baik bekalan yang ada padamu.
Telah dikabarkan, bahawa jika sebuah batu dilemparkan ke dalam neraka Jahannam, maka sehingga tujuh puluh tahun, batu itu belum juga sampai ke dasarnya. Demi Allah neraka itu akan dipenuhi. Adakah kamu hairan?
Juga dikabarkan, bahawa jarak di antara dua ambang pintu surga seluas perjalanan empat puluh tahun. Tetapi pada suatu hari, akan terjadi kesesakan orang berjalan.
Dahulu, ketika kami tujuh orang bersama Rasulullah saw, tiada makanan kecuali daun-daun pepohonan sahaja yang ada, sehingga luka bibir-bibir kami kerana memakannya. Saya pernah memotong dua, selembar kain untuk kami guna sebagai kain sarung dengan Sa’ad bin Malik. Tetapi kini, tiada seorang dari kami melainkan sudah menjadi gabernor di suatu daerah. Dan saya berlindung kepada Allah, janganlah sampai saya memandang diri saya besar, padahal sebenarnya dalam pandangan Allah adalah kecil.”

Utbah tidak melupakan masa lalunya, ia terus mengenang berbagai kesusahan yang pernah dirasakan oleh para penggerak awal dakwah Islam di Makkah; pemboikotan Kuffar Quraisy, penyiksaan oleh mereka, kesempitan ekonomi yang menimpa, kehidupan yang serba dalam kekurangan. Dahulu tak terbayangkan bila agaknya penderitaan akan berakhir. Jauh sekali membayangkan berbagai kenikmatan dunia seperti yang dinikmati kini.

Utbah mengingati perjalanan masa lalu. Dalam kesusahan, para sahabat radhiyallahu ‘anhum terus berjuang, memperluas jangkauan dakwah, penduduk Madinah beramai-ramai memeluk Islam.

Hijrah kaum muslimin ke Madinah menjadikan kedudukan mereka menjadi kuat, sebagai umat yang berdaulat, dakwah pun semakin meluas, dan akhirnya kekuatan Islam kembali menguasai Makkah. Kaum muslimin gembira dapat kembali menakluki Makkah dengan laungan takbir.

Setelah Rasulullah saw tiada, gerakkan Islam bukan surut, malah semakin menyebar ke negeri-negeri jirannya, satu persatu mengisytiharkan memeluk Islam. Kaum muslimin menjadi suatu kumpulan yang lengkap dari berbagai suku bangsa, warna kulit, bahasa dan beragam budaya. Kerajaan Parsi juga tunduk. Ketika itulah Utbah mendapat amanah memimpin Basrah sebagai Gabernor.

Kenikmatan…., memang melenakan, bukan sedikit manusia yang terperangkap dengan ujian yang satu ini.

“Barangsiapa menghendaki balasan segera (duniawi), maka Kami akan segerakan apa yang Kami mahu bagi sesiapa yang kami kehendaki di dunia ini, kemudian Kami tentukan baginya neraka jahannam; ia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir.” (S. Al Isra’:18)

Kebahagiaan duniawi yang dirasa manusia dan membuatnya lalai, sebenarnya adalah awal azab Allah di akhirat.

Kenikmatan sering menjadikan manusia lupa akan sejarah hidupnya, lupa betapa dahulu ia miskin, bersusah payah untuk berdiri, kehidupan saling tolong menolong yang ia dapat telah menjadikannya mampu menghadapi penderitaan dan mudah mencapai tangga-tangga kejayaan. Pertolongan-pertolongan Allah melalui malaikat, melalui saudara-saudara kaum muslimin telah menguatkannya untuk terus melangkah menuju kejayaan, kejayaan itu kini, membuat manusia buta. Lupa bahawa ia dibesarkan bukan oleh dirinya sendiri.

Allah berfirman tentang Qarun yang berkata:

“Sesungguhnya aku diberi harta itu, hanyalah kerana ilmu yang ada padaku….” (S. Al Qashash:78)

Kenikmatan juga sering menjadikan manusia lupa misinya. Bertahun-tahun melalui hidup dalam kesusahan, sanggup bertahan dengan prinsip, berjuang memerah keringat, menitiskan darah, sekian lama dengan sabar melangkahi anak-anak tangga kejayaan sedikit demi sedikit, dengan harap-harap cemas dan beribu do’a. Namun, ketika ia telah sampai di puncak kenikmatan dan kedudukan yang tinggi, ia lupa untuk apa sebenarnya ia bersusah payah mendaki selama ini.

Kenikmatan membuat seseorang menjadi besar kepala. Menganggap dirinya hebat, kuat, banyak jasa. Melihat manusia-manusia lain kecil dalam pandangannya, tiada nilai dalam perhitungannya, lalu tak perlu dihargai pendapat-pendapatnya.

Semua ini adalah bencana, awal azab Allah dalam bentuk kenikmatan dunia. Utbah menyedari akan ancaman ini, ia berkata: “Saya berlindung kepada Allah, jangan sampai saya melihat diri saya besar padahal dalam pandangan Allah kecil.”

Rasulullah saw, sebagai peribadi contoh, telah mengalami mi’raj, suatu kenikmatan tiada banding, Baginda berjumpa para nabi; Adam, Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa alaihimus salaam. Sepanjang perjalanan Baginda ditemani oleh Jibril, Baginda menyaksikan surga dan akhirnya menghadap Allah untuk menerima shalat.

Seorang Sufi berkata: “Kalau aku mi’raj, tentu aku tak akan kembali ke dunia ini lagi….” Tetapi Baginda saw kembali, untuk menyibukkan diri lagi dengan permasalahan umat, yang menghimpit dadanya dan mengancam keselamatan nyawanya, kerana, itulah misi sebenarnya, yang memang mesti ia jayakan.

Semoga bermanfaat!

Ilal liqa'

Monday, April 13, 2009

BERKENALAN DENGAN ESQ

Pada abad 20-an kecerdasan intelektual IQ (Intelellectual Quotient) dianggap oleh kebanyakan orang sebagai kecerdasan tertinggi manusia dan penentu bagi kejayaan masa hadapannya, IQ dijadikan pengukur kecerdasan, semakin tinggi IQ seseorang, maka semakin tinggilah kecerdasannya dan semakin besar pula kemungkinannya untuk berjaya dalam hidup. Maka dibuatlah formula Uji IQ untuk memilih manusia berdasarkan tingkat kecerdasannya.

Mengikut perkembangan, ternyata IQ hanyalah kecerdasan untuk menyelesaikan masalah-masalah logika, rational dan strategis, bila hanya bergantung kepada IQ, maka seseorang itu bagaikan robot atau enjin. Bekerja secara teratur, otomatik dan mekanik seperti komputer, tetapi gagal menjalin hubungan harmonis di antara sesamanya. Akhirnya manusia mengalami perasaan terasing dari lingkungannya dan dunianya sendiri.

Pada tahun 1990-an, Daniel Goleman menemukan kecerdasan jenis baru iaitu kecerdasan emosi (Emotional Quatient) EQ. Ertinya, keberhasilan seseorang tidak ditentukan oleh tinggi rendahnya IQ, tetapi ditentukan oleh bagaimana seseorang tersebut mengurus hubungan antar perorangan secara lebih bermakna. EQ telah memberikan suatu rasa empatik, cinta, ketulusan, kejujuran, kehangatan, motivasi dan kemampuan merespon kegembiraan atau kesedihan secara tepat. EQ juga memberikan kesedaran mengenai perasaan milik diri sendiri dan perasaan miliki orang lain.

IQ tidak berubah dalam diri manusia dan ia dapat diukur, lain halnya dengan EQ, ia boleh mengalami perubahan, meningkat dan menurun, ia dapat dipelajari untuk terus ditingkatkan dan disempurnakan. Bahkan EQ menjadi asas penggunaan IQ secara lebih berkesan.

Semakin baik kecerdasan emosi seseorang, akan melahirkan rasa kepuasan materi, kehangatan hubungan antar manusia, dan dapat bertindak secara betul dalam menghadapi kesedihan dan kegembiraan.

Seiring pertambahan usia ke akhir kehidupan, kebahagiaan yang dicapai dengan EQ tadi tidak dapat dipertahankan, manusia moden menghadapi problema yang sangat basic, mengalami kehampaan makna hidup.
Ke manakah akhir kehidupan ini?
Untuk apa sebenarnya kita hidup?
Harta sudah ditangan, kehangatan hubungan antar sesama manusia telah dirasa, tetapi menghadapi akhir kehidupan, ia terasa hampa tanpa makna, tiada kebahagiaan.
Orang mencari kebahagiaan hakiki, mereka cuba mendapatkannya pada wang, kekayaan, kenikmatan seksual, kedudukan dan pangkat, kesihatan dan lain-lain. Namun kebahagiaan yang didapat bukan yang hakiki.

Akhirnya manusia cuba mencari jawapan untuk mendapat “bahagia”. Dan pada akhir abad 20-an ditemukanlah kecerdasan jenis ketiga Spiritual Quotient (SQ), iaitu kecerdasan ruhani. Ia merupakan kecerdasan untuk menghadapi dan memecahkan permasalahan makna dan nilai hidup, dan mendudukkan perilaku dalam konteks makna yang lebih luas. SQ merupakan prasyarat bagi berfungsinya IQ dan SQ secara berkesan. Spiritual, Ruhani merupakan faktor penting yang perlu ada untuk seseorang merasakan kebahagiaan.

ESQ 165 MODEL Ary Ginanjar Agustian

Selama ini berkembang dalam masyarakat sebuah pemikiran yang memisahkan antara dunia dan akhirat, antara unsur-unsur kebendaan dan unsur-unsur agama, antara unsur kasat mata dan tak kasat mata, antara materialisme dan orientasi nilai-nilai ketuhanan semata.
Mereka yang memilih kejayaan akhirat, cenderung berfikir bahawa kejayaan dunia adalah tidak penting. Hasilnya mereka unggul dalam kekhusyu’an berzikir dan kekhidmatan ibadah khusus, namun tewas dalam percaturan ekonomi, ilmu pengetahuan, sosial, politik, dan perdagangan.
Mereka yang hanya berpijak pada alam kebendaan pula, kekuatan berfikirnya tidak pernah diimbangi oleh kekuatan dzikir, kebendaan begitu membelenggu hatinya, tidak mudah baginya untuk berpijak pada alam fitrahnya.

Kemudian beliau menyatukan EQ dan SQ dengan nilai-nilai Islam, menjadi suatu penyatuan yang padu tanpa pemisahan, dengan membuat suatu model kecerdasan alternatif berupa ESQ model.

4 Tahap Membangun Kecerdasan Insan.

ESQ model menjelaskan tentang empat tahap proses membangun kecerdasan insan, berdasarkan Rukun Agama Islam (Ihsan, Iman dan Islam = 165) iaitu:

Pertama: Zero mind process (proses menuju fitrah manusia / God-spot)

Kedua : Mental Building (membangun mental melalui prinsip-prinsip hidup; 1- Star principle, 2- Angel principle, 3- Leadership principle, 4- Learning principle, 5- Vision principle dan 6- Well organized principle.)

Ketiga : Personal Strength (membangun ketangguhan peribadi melalui proses; 1- Mission statement, 2- Character Building dan 3- Self Controlling.)

Keempat : Social Strength (membangun kekuatan hubungan social melalui proses; 1- Strategic Collaboration, 2- Total Action

Pada tahap pertama, zero mind process, proses menuju pada fitrah manusia (God-Spot), kita diajak untuk merenungi dan memperhatikan suara hati atas beberapa peristiwa yang terjadi sehari-hari, baik pada diri kita mahupun pada orang lain atau lingkungan sekitarnya. Kemudian kita disuruh untuk merespon secara jujur berdasarkan kata hati. Maka kita akan mendapati dua pilihan, iaitu pilihan jalan menuju fitrah (taqwa) dan pilihan jalan menuju kejahatan (fujur), setiap orang memiliki kebebasan untuk memilihnya.

“maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.” (S. Asy Syams/91:8-10)

Ketika itu manusia mula menghadapi ujian dalam dirinya sendiri, adakalanya hati manusia terbelenggu sehingga menutupi kebenaran informasi dari suara hati. Belenggu-belenggu yang dapat menutupi hati ialah; 1- Prasangka buruk, 2- Prinsip-prinsip hidup, 3- Pengalaman, 4- Kepentingan dan keutamaan, 5- Sudut pandang, 6- Pembanding, 7- Literatur.

Untuk menuju kepada fitrah (God-Spot) mestilah membebaskan diri dari ketujuh belenggu tersebut, sehingga akhirnya kita dapat menyesuaikan kehendak kita dengan kehendak Allah SWT.

Pada tahap kedua, setelah memiliki kejernihan hati, mulakan mengisi dan membangun karakter diri melalui enam prinsip- prinsip yang tersebut di atas (1- Bintang, agar menjadikan Allah sebagai tujuan hidup, 2- Malaikat, agar memiliki keberanian dan sikap optimis, 3- Kepimpinan, agar menjadi seorang pemimpin contoh dan berpengaruh, 4- Belajar, agar mendorong kepada kemajuan, 5- Masa hadapan, agar memiliki visi yang jelas, 6- Keteraturan, agar terwujud kedisiplinan dan keseimbangan hidup dalam satu kesatuan tauhid.

Pada tahap ketiga, setelah memiliki prinsip hidup yang kukuh dan jelas, terbentuklah keperibadian tangguh (integriti dan competensi), iaitu peribadi yang memiliki prinsip berfikir dan mengaplikasikannya melalui tiga langkah kejayaan iaitu; pernyataan misi (Syahadatain), pembangunan karacter (shalat) dan pengendalian diri (Shaum).

Tahap keempat, ketangguhan sosial, ia dianalogikan dengan prinsip zakat, iaitu rasa peduli terhadap lingkungan masyarakat, ia suatu bentuk pertahanan aktif dari dalam keluar. Apa yang perlu, lakukan kolaborasi strategis, agar manfaat diri dirasakan orang lain dan tindakan yang total (hajj)

Sumber,
Ary Ginanjar Agustian, Rahasia Sukses Membangun Kecerdasan Emosi dan Spiritual ESQ Emotional Spiritual Quotient Berdasarkan 6 Rukun Iman dan 5 Rukun Islam, Sept 2006, c. 29, Jkt. Penerbit Arga.

Semoga bermanfaat!
Ilal liqa'

Thursday, April 9, 2009

MENCARI PEMIMPIN CONTOH

Sebelum kembali ke negeri abadi, akhirat, Rasulullah saw sebagai pemimpin, ingin membersihkan diri dari sebarang tindakan zalim yang mungkin pernah dilakukannya terhadap rakyatnya, di hadapan mereka baginda bersabda:

“Sesungguhnya aku ini Nabimu, pemberi nasihat, dan da’ie yang menyeru kepada jalan Rabbmu dengan izin-Nya. Aku ini bagaikan saudara kalian yang penyayang dan seorang bapa yang pengasih. Siapa yang terasa teraniaya olehku, hendaklah bangkit berdiri sekarang juga untuk melakukan qishash kepadaku, sebelum ia melakukannya di hari kiamat,” Baginda mengulangi ucapannya sampai tiga kali.

Kemudian tampillah Ukasyah. Ibu dan Ayahku menjadi tebusanmu ya Rasulullah. Kalau tidak kerana engkau telah berkali-kali menuntut kami supaya berbuat sesuatu atas dirimu, tidaklah berani aku tampil.

Begini, dahulu aku pernah bersamamu di medan perang Badar. Di saat itu untaku berdampingan dengan untamu, lalu aku turun dari untaku dan menghampirimu. Bersamaan dengan itu engkau mencambuk untamu agar berjalan lebih cepat. Cambukmu itu telah mengenai lambungku. Saya tidak tahu apakah perbuatanmu itu sengaja atau tidak.”
Rasulullah menjawab: “Maha Suci Allah, wahai Ukasyah mana mungkin Rasul Allah bermaksud memukulmu dengan sengaja.” Kemudian Baginda menyuruh Bilal untuk mengambil cambuk yang sama di rumah Fatimah. Cambuk itu pun terus diserahkan kepada Ukasyah.

Betapa marahnya Abu Bakar dan Umar ra melihat perilaku Ukasyah.
“Hai Ukasyah! Kami sekarang berada di hadapanmu, qishash saja kami berdua, jangan sekali-kali engkau pukul Rasulullah saw”

“Duduklah kalian berdua! Allah mengetahui kedudukan kalian”. Tegur Rasulullah. Kata-kata yang sama beliau ucapkan ketika Ali bin Abi Thalib dan kedua cucunya Hasan dan Husein menawarkan diri untuk menggantikan diri baginda.

“Hai Ukasyah pukullah aku jika engkau berhasrat melakukan qishash” kata Baginda tegas.

“Ya Rasulullah, sewaktu engkau memukulku dahulu, kebetulan aku sedang tidak mengenakan selembar baju pun.”

Mendengar itu, tanpa ragu sedikit pun Baginda terus membuka bajunya. Ketika melihat putih tubuh Rasulullah, Ukasyah segera mendekat, memeluk dan mencium punggung Rasulullah. “Tebusanmu ruhku ya Rasulullah. Siapakah yang sampai hati untuk mengqishashmu? Aku sengaja melakukan ini hanya kerana berharap agar tubuhku dapat menyentuh tubuhmu yang mulia sehingga Allah dengan kehormatanmu itu dapat memelihara tubuhku dari sentuhan api neraka.”

Rasulullah saw pun bersabda: “Wahai para sahabatku, siapa yang ingin melihat penduduk surga, maka lihatlah laki-laki ini.”

Mudah-mudahan masih ada pemimpin yang mengidolakan Baginda saw, Ia berkuasa, tetapi penyayang,seperti seorang yang menyayangi saudaranya, ia dihormati, tetapi pengasih, seperti seorang bapa terhadap anaknya, ia prihatin terhadap mereka yang ia pimpin, lalu ia pun selalu menyeru mereka ke jalan Allah, menuju surga-Nya, ia takut kepada Allah kalau sampai berlaku dirinya menzalimi rakyat, mereka pun akhirnya mentaatinya bukan kerana takut kepadanya, kepada hukumannya, tetapi kerana menyayanginya.

Ya Allah beri kami pemimpin yang takut kepada-Mu dan mengasihi kami rakyatnya! Aamiin

NASIHAT KEPADA PENGUASA

Seorang dari kalangan Tabi’in Salamah bin Dinar berkata:
“Sebaik-baik penguasa ialah yang mencintai ulama’, dan seburuk-buruk ulama ialah yang mencintai penguasa.”

Ia pernah menasihati orang yang dalam tampuk kekuasaan pada zamannya, iaitu Sulaiman bin Abdul Malik, pesannya:
“Wahai Amirul Mu’minin, kita takut kepada kematian, kerana kita memakmurkan dunia dan tidak memakmurkan akhirat, kerana itu kita pun enggan meninggalkan tempat yang makmur menuju tempat yang tidak makmur itu. Sesungguhnya orang-orang yang shaleh ketika menghadap kepada Allah, adalah bagaikan orang yang kembali kepada keluarganya dengan penuh kerinduan kerana telah berpergian jauh. Adapun orang-orang yang tidak baik, ketika kembali menghadap Allah, adalah bagaikan seorang hamba yang melarikan diri dari tuannya, lalu ia ditangkap dan dipaksa pulang.”

“Wahai Amirul mu’minin! Orang yang paling mulia adalah yang paling bertakwa kepada Allah. Orang yang berakal adalah orang taat kepada Allah, beramal dan mengajak orang kepada ketaatan itu. Sedang orang yang paling bodoh adalah orang yang zalim lagi hanyut dalam hawa nafsumya. Ia rela menjual akhiratnya dengan hawa nafsunya.”

Ia pernah berpesan kepada muridnya: “Kita ini tidak mahu mati sebelum bertaubat, walhal kita tidak mau bertaubat kecuali setelah kematian itu datang…..

Menjelang ajalnya, ia ditanya: “Bagaimana kabarmu wahai Ibnu Hazm (panggilan Salamah bin Dinar). Dengan tenang ia menjawab: “Aku dalam keadaan baik. Penuh pengharapan kepada Allah, berbaik sangka kepada-Nya. Demi Allah, tidaklah sama orang-orang yang pergi pagi hari dan balik petang demi menyiapkan kampung akhiratnya, dengan orang yang pergi pagi hari dan balik petang hanya demi memakmurkan dunianya.”

Sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang beriman.

Semoga bermanfaat!
Ilal liqa’

TAMAK AKAN PAHALA

Beberapa orang sahabat Muhajirin yang hidupnya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, atau hidup setakat cukup-cukup, datang berjumpa Rasulullah saw., dan berkata:

“Wahai Rasulullah, orang-orang kaya dari kami bergelimang harta juga pahala. Mereka shalat seperti kami shalat, berpuasa sebagaimana kami berpuasa, tetapi mereka dapat bersedekah dengan kelebihan harta mereka, sedang kami tidak.”

Rasulullah saw bersabda: “Mahukah kalian aku beritahu sesuatu yang dapat menyamai (sedekah) mereka? Bacalah tasbih (Subhanallah), tahmid (alhamdulillah) dan takbir (Allahu akbar) tiga puluh kali setiap selepas shalat.”

Beberapa hari kemudian, mereka kembali menemui Rasulullah saw dan berkata: “Wahai Rasulullah! Orang-orang kaya itu mengetahui apa yang kami lakukan, mereka pun lalu mengikuti apa yang kami lakukan.

Rasulullah saw berkata: “Itu adalah karunia Allah yang diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya.”

Para sahabat Muhajirin radhiyallahu anhum mengadu tentang kemiskinan bukan kerana keduniaan yang tidak mereka miliki, mereka sedih kerana tidak dapat bersedekah sebagaimana orang-orang kaya di antara mereka dapat bersedekah.
Orang-orang kaya pula tidak merasa cukup dengan pahala bersedekah, mereka menambahkan lagi kebaikan dengan mengikuti amalan yang diajarkan oleh Rasulullah saw kepada orang-orang miskin. Mereka saling berlumba untuk mendapatkan akhirat, dunia dipandang hanya sebagai alat untuk mendapatkan balasan di sisi Allah. Kelebihan dunia tidak menjadikan para pemiliknya bersikap sombong. Kekurangan dunia pula tidak menjadikan orang-orang yang tak punya menjadi congek. Mereka menyedari akan takdir Allah yang dengan kuasa dan iradat-Nya memberi karunia termasuk kekayaan kepada siapa yang Ia kehendaki. Miskin atau kaya, itu ketentuan Allah, Miskin tetapi sabar dan terus istiqamah, seperti juga kaya tetapi bersyukur dan juga istiqamah, itulah sikap yang Allah mahu kita para hamba memilikinya.

Kaya atau miskin, keduanya merupakan alat untuk Allah menguji hamba-Nya. Jika anda diberi kekayaan, syukuri dan istiqamahlah! Jika anda diuji dengan kemiskinan, bersabar dan istiqamahlah! Itulah kerja hamba.

Jangan kamu mengatur Allah apa yang patut Dia buat untuk kita, tetapi fikirkanlah apa yang patut kita lakukan terhadap Allah!

Semoga Allah memberi kita kekuatan untuk terus istiqamah!

Ilal liqa’

Tuesday, April 7, 2009

ITU DAHULU

Dahulu, pada zaman sahabat radhiyallahu ‘anhum, mereka saling menolak untuk menjadi pemimpin.

Diriwayatkan, Abu Bakar ash Shiddiq ra., sebelum diminta menjadi Khalifah menggantikan Rasulullah saw, mencadangkan agar Umar yang menjadi Khalifah. Dengan alasan Umar adalah seorang yang kuat.
Umar pula menolak, dengan katanya: “Kekuatanku akan berfungsi dengan kelebihan yang ada padamu. Lalu Umar membai’ah Abu Bakar dan diikuti oleh sahabat-sahabat lain dari Muhajirin dan Anshar.

Mereka adalah orang-orang ternama dari generasi awal Islam, generasi terbaik, khairu ummah. Mereka memandang jawatan sesuatu yang menakutkan, lalu berusaha menghindarinya seboleh yang mungkin.

Itu zaman dahulu!

Keberatan para Sahabat dahulu untuk menjadi pemimpin, kerana mereka sedar akan akibat dan resikonya. Banyak hadits-hadits Nabi Saw tentang tanggung jawab pemimpin di dunia dan di akhirat.

"Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan dimintai pertanggung jawapannya. Imam (kepala negara) adalah pemimpin dan akan dimintai pertanggung jawabannya atas kepemimpinannya...".

“Kalian akan berebut untuk mendapatkan kekuasaan. Padahal kekuasaan itu adalah penyesalan di hari Kiamat, nikmat di awal dan pahit di akhir. (Riwayat Imam Bukhori).

“Siapa yang diberikan Allah kekuasaan mengurus urusan kaum Muslimin, kemudian ia tidak melayani mereka dan keperluan mereka, maka Allah tidak akan memenuhi keperluannya.” (Riwayat Abu Daud).

“Tidak ada seorang pemimpin yang menutup pintunya dari orang-orang yang memerlukannya dan orang fakir miskin, melainkan Allah juga akan menutup pintu langit dari keperluannya dan kemiskinannya.”

Hadits-hadits di atas lebih banyak menggambarkan pahitnya menjadi pemimpin daripada manisnya. Sedang para sahabat ra. lebih mengutamakan kesenangan ukhrawi daripada kenikmatan duniawi.

Itu zaman dahulu.

Kesenangan duniawi yang akan didapat melalui jawatan dan kekuasaan terlalu sedikit dan tak bererti apa-apa jika di akhirat mesti dibayar dengan kesusahan yang berkepanjangan.

Sikap yang dimiliki oleh para sahabat ini akhirnya menjadikan mereka para pemimpin yang takutkan Allah dan menyayangi mereka yang dibawah kepimpinannya. Kekuasaan yang mereka pegang mereka jadikan kenderaan untuk dapat selamat dari neraka dan masuk ke dalam surga. Mereka lebih memilih menjadi orang kecil dalam jawatan tetapi orang besar dalam perjuangan, sehingga bayarannya besar di sisi Allah, di dunia hasanah di akhirat hasanah.

Itu zaman dahulu, bagaimana zaman sekarang?

Jika sekarang ada sesiapa ingin seperti mereka, mulalah ikuti rentak hidup mereka, sebelum mereka jadi penguasa, sedang memegang kuasa dan se
telah tidak berkuasa.

Selamat bekerja keras! Semoga berjaya dunia akhirat. Aamiin

Ilal liqa’

Monday, April 6, 2009

SUDAHKAH KITA MERDEKA?

Amr bin Ash merupakan penguasa Mesir. Suatu ketika anaknya ikut acara lumba berlari, ia berlawan dengan seorang pemuda biasa. Hasilnya, anak Amr kalah dalam pertandingan. Sebagai anak penguasa, ia merasa malu, dan tak dapat menahan emosinya, lalu memukul pemuda itu.

Kejadian itu dilaporkan kepada Khalifah Umar bin Khattab ra.. Setelah memahami permasalahannya, Anak Amr pun dihukum qishash. Umar berkata kepadanya: “Sejak bila engkau memperhamba manusia, padahal ibu-ibu mereka telah melahirkan mereka dalam keadaan merdeka?”.

Kisah di atas memberi kita pelajaran berharga. Iaitu, Islam telah membebaskan manusia dari perhambaan. Seorang mukmin, dalam penghambaannya kepada Allah akan mendapatkan kemerdekaan sebenar.

Memiliki kebebasan menghubungi Allah.
Dalam berhubungan dengan Allah Pencipta Alam, Yang Maha Berkuasa, Maha Kaya, Maha Agung, Dia Tuhan yang menghidupkan, yang mematikan, yang membangkitkan, yang akan menghisab, yang akan membalas amal-amal, yang menyediakan surga bagi yang beriman dan neraka bagi yang kufur, seorang mu’min jika ingin berhubung dengan-Nya, bebas tanpa perlu perantara, tidak perlu perantara tokoh agama, patung, malaikat. Ia bebas berhubungan untuk bertaubat kepada-Nya, memohon ampunan, meminta pertolongan bila-bila masa.

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu, maka (jawablah), bahawa aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”(S. al Baqarah:186)

Hidup dengan jiwa yang merdeka.
Dengan aqidah “La ilaaha illallah” yang diikrarkan setiap hari, seorang mu’min meyakini bahawa Allah SWT. Adalah Maha Perkasa dari segala kekuatan apa sahaja di muka bumi ini. Oleh itu, Dialah yang wajib ditaati dan ditakuti. Kepada-Nyalah kita mesti kembali. Tak ada apa yang perlu ditakuti dari apa-apa kekuatan selain daripada-Nya di muka bumi ini.

Para tukang sihir Fir’aun yang kemudian beriman kepada Tuhan Nabi Musa as. Telah merasakan betapa merdekanya mereka, sebelumnya terbelenggu dalam kungkungan Fir’aun.

“Berkata Fir’aun: “Apakah kamu telah beriman kepadanya (Musa) sebelum aku memberi izin kepadamu sekalian. Maka sesungguhnya aku akan memotong tangan dan kaki kamu sekalian dengan bersilang secara bertimbal balik, dan sesungguhnya aku akan menyalib kamu sekalian pada pangkal kurma dan sesungguhnya kamu akan mengetahui siapa di antara kita yang lebih pedih dan lebih siksanya.” Mereka berkata: “Kami sekali-kali tidak akan mengutamakan kamu daripada bukti-bukti yang nyata (mukjizat), yang telah datang kepada kami dan yang telah menciptakan kami. Maka putuskanlah apa yang hendak kamu putuskan. Sesungguhnya kamu hanya akan dapat memutuskan pada kehidupan di dunia ini sahaja.” (S. Thaha:71-72)

Jiwa yang merdeka membuat manusia sedar akan harga dirinya, dirinya yang mulia, dan demi menjaga kemuliaannya itu ia sanggup untuk mengharungi tentangan hidup.

Ingin dapat kedudukan di sisi Allah, peluang terbuka luas.
Setiap kali mu’min meningkatkan ibadahnya, setiap itu pula ia mendekati tangga-tangga tertinggi dalam kedudukannya di sisi Allah, iaitu peringkat ihsan. Ia bebas untuk mencapainya dengan melakukan berbagai bentuk ibadah yang luas yang tak terbatas pada ibadah-ibadah khusus seperti shalat, puasa, zakat haji dan ritual-ritual lainnya, tetapi juga ibadah umum yang meliputi seluruh aspek kehidupan. Dengan menggeluti peringka-peringkat ibadah itu, seorang mu’min akan menyatu dengan arah hidupnya dan ia benar-benar berada dalam kemerdekaan.

“Orang yang hidup bebas tanpa peraturan adalah hamba kepada hawa nafsu dan terbelenggu olehnya. Orang yang menghamba kepada Allah dan tunduk kepada-Nya, itulah orang merdeka.”

Sudahkah kita merdeka?
Jom sama-sama kita berusaha!

Ilal liqa’

Wednesday, April 1, 2009

MENGENALI DUNIA

“Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megahan antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanaman-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridaan-Nya. Dan kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu. Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan dari Tuhanmu dan surga yang luasnya seluas langit dan bumi, dan disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Itulah karunia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai karunia yang besar.” (S. al Hadid:20-21)

Banyak orang menghabiskan hidup hanya untuk dunia, dan menjadikannya tujuan hidup disebabkan kejahilan mereka tentang hakikat dunia, selain memang dunia itu sangat menarik.

Dunia (dunyaa), bererti “yang dekat” dan “yang rendah”.

Sesuatu “yang dekat”, untuk memperolehinya tidaklah memerlukan banyak jerih payah, tak perlu mengerahkan tenaga, kecuali bagi yang lemah, atau yang lumpuh.

Sedang “yang rendah”, tak patut dijadikan tujuan hidup, kerana manusia yang dewasa selalunya merindukan kemuliaan, inginkan ketinggian dan tak suka kerendahan dan kehinaan.

Jadi, orang dewasa, yang matang dan sihat akal fikiran, kuat jiwa dan mentalnya, tentu tidak akan menghabiskan masanya untuk bersusah payah mengejar dunia dan menjadikannya tujuan hidup.

Siapakah yang dikatakan sebagai orang dewasa, yang sihat akal fikiran dan jiwanya? Mereka adalah yang sentiasa mendapat bimbingan wahyu Allah, Merekalah orang–orang beriman.

“Janganlah kalian merasa lemah, dan jangan pula bersedih hati, sebab kamu paling tinggi darjatnya jika kamu orang beriman” (S. Ali ‘Imran: 139)

Seorang mukmin, tentu tidak akan menghabiskan masanya hanya untuk mengurus dunia, lalu menjadikannya sebagai tujuan hidup, kerana,

“Kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megahan antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak,…..”

Yang menyukai permainan, dan menghabiskan masanya untuk bermain-main tidak lain adalah kanak-kanak. Yang menyukai senda gurau pula adalah orang yang lemah akal dan fikirannya, ia akan menangis sedih ketika barang mainannya hilang atau diambil orang, kerana begitulah jangkauan fikirannya, ilmunya menganggap bahawa permainannya, itulah benda yang paling berharga.

Sedang si Muslim, terutama aktivis dakwah (da’i), memandang; bahawa kemuliaan itu bergantung kepada keislaman dan keimanannya, kedekatannya dan ketakwaannya kepada Allah, bukan kepada dunia, banyaknya harta yang dimiliki.

Da’i, orang yang telah memilih jalan hidup untuk menegakkan kalimah Allah, harapannya hanya satu, mendapat ridha Allah, ia bekerja keras di sini, di dunia, untuk memetik hasilnya disana, di akhirat, di negeri abadi. Ia bekerja untuk menyebarkan nilai-nilai Ilahi yang dengan kerjanya itu, ia berharap dapat surga Allah. Ia mengajak manusia untuk cintakan Islam, untuk sanggup berkorban demi Islam, Ia juga mengajak kepada cintakan Allah dan ajaran-Nya, jadi sebagai da’i, ia mestilah lebih cintakan Allah, cintakan Allah tidak mungkin bersatu dengan cintakan dunia, kerana orang yang cintakan Allah akan rela membelanjakan seluruh dunianya demi tegaknya kalimah Allah. Sedang orang yang cintakan dunia, akan rela menjual agamanya untuk mendapat keuntungan dunia. Ia akan jadikan segala aktiviti keagamaannya untuk mendapat keuntungan duniawi.

Allah telah memberi amaran kepada orang-orang yang lebih cintakan dunianya daripada akhirat.

“Adapun orang yang melampaui batas, dan lebih mengutamakan kehidupan dunia, maka sesungguhnya nerakalah tempat tinggalnya.” (S. an Nazi’aat:37-39)

Rasulullah saw memberi nasihat:

“Zuhudlah kamu terhadap dunia niscaya Allah akan mencintaimu, dan zuhudlah kamu terhadap apa yang dimiliki orang niscaya mereka akan mencintaimu”.

“Hindarilah olehmu sifat bermewah-mewahan, kerana hamba Allah bukanlah orang-orang yang bermewah-mewahan”.

Perumpamaan dunia adalah “Seperti hujan yang tanaman-tanamannya mengagumkan para petani kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur”.

Pecinta dunia digambarkan umpama petani, ketika melihat tanam-tanaman yang tumbuh menghijau, hatinya gembira. Tetapi tanaman itu dalam waktu singkat berubah menjadi kering dan rontok satu persatu lalu hancur. Petani pun kecewa, harapannya terhadap tanamannya hampa. Alangkah malangnya nasib petani itu. Jadi orang-orang yang menggantungkan harapannya kepada dunia akan hampa dan malang nasibnya, bukan sahaja di dunia ini, tetapi juga di akhirat nanti.

Untuk terhindar dari menjadi malang, Allah mengajak kita kepada;

“Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan dari Tuhanmu dan surga yang luasnya seluas langit dan bumi”.

Itulah surga, kebahagiaan abadi, kebahagiaan hakiki, yang mesti dikejar, yang layak untuk diperebutkan, untuk diperlumbakan.

Jom kita berlumba-lumba!

Semoga bermanfaat!

Ilal liqa’

Monday, March 30, 2009

TAWARAN SURGA

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan Dia banyak menyebut Allah”. (Al-Ahzab:21)

Ketika Allah SWT mengutus Rasul-Nya, Muhammad-saw-, suku kaum-suku kaum yang sebelumnya berpecah belah, menyatu kembali. permusuhan antar kabilah dan kelompok dalam masyarakat, tiada lagi.

Lahir dari masyarakat jahiliyah, umat terbaik, khairu ummah. Umat yang satu, yang lahir di atas asas-asas keimanan, asas-asas akhlaq mulia.Umat yang hidup di atas asas-asas kemerdekaan sebagai hamba kepada Allah sahaja. Umat yang mengambil contoh tauladan dari Rasulullah saw. Dalam menjalani kehidupan mereka.

Sesungguhnya akhir umat ini tidak akan menjadi baik dan shaleh, melainkan dengan melakukan apa yang telah dilakukan oleh generasi awal umat ini, salafus shaleh.

Mereka telah dididik oleh Baginda saw dengan ayat-ayat al Quran yang diwahyukan Allah kepadanya, mereka menerima al Quran sebagai aturan dan panduan hidup untuk mereka ikuti serta merta. Mereka pelajari al Quran untuk mengetahui apa yang Allah mahu mereka buat dengan ayat-ayat itu, lalu mereka pun melaksanakannya.

Ketika al Quran sempurna diturunkan, diri-diri mereka menyatu dengan al Quran, laksana al Quran yang berjalan mencontohi keperibadian pemimpin mereka iaitu Rasulullah saw.

Mereka hidup, untuk menyebarkan rahmat Islam, mereka sedar, bahawa diri mereka dilahirkan, bukan setakat untuk kesenangan mereka, tetapi untuk kebaikan manusia keseluruhannya. Allah sebut mereka dalam al Quran:

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.” (Ali Imran:110)

Krisis paling serius yang terjadi saat ini ialah krisis keteladanan; keteladanan yang baik dan shaleh di tingkat masyarakat, bangsa dan juga antarabangsa.

Maka, sangat-sangat diperlukan usaha melahirkan individu-individu yang baik dan shaleh, kemudian, masyarakat yang baik dan sholeh dan seterusnya, bangsa, bahkan kesatuan bangsa-bangsa, yang baik dan shaleh.

Jika terjadi kekosongan yang panjang pada masalah ini, maka akan menjadi ancaman bagi keutuhan umat dan kemanusiaan sejagat, dimana masyarakat akan menjadi korban dari keruntuhan dan kegagalan sistem yang ada dan pada akhirnya manusia akan berpaling dari Allah SWT. Dan itulah hakikat kemusnahan.

Setiap muslim mempunyai kewajipan untuk meneladani Rasulullah saw dalam berbagai aspek kehidupan mereka, bila-bila masa dan dimana sahaja mereka berada.

Allah telah berfirman:

Katakanlah: “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah akan mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu.” Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS. Ali ‘Imran/3:31)

Rasulullah saw bersabda:

“Setiap umatku akan masuk surga, kecuali yang enggan. Baginda ditanya: “Siapakah orang yang enggan itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Siapa yang mentaatiku ia akan masuk surga dan siapa yang mendurhakaiku bererti ia telah enggan."

Selain itu Allah menjanjikan kejayaan di dunia dan akhirat bagi sesiapa yang mahu berjuang mengikuti jejak Rasulullah saw.

“Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih? (yaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. Niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam jannah ‘Adn. Itulah keberuntungan yang besar. Dan (ada lagi) karunia yang lain yang kamu sukai (yaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman. (As-Shaff:10-13)

Semoga bermanfaat!
Ilal Liqa'

Wassalaam

Sunday, March 29, 2009

MILIKI MATA HATI YANG CELIK

“Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda keagungan di langit dan di bumi dan (Kami perlihatkannya) agar dia termasuk orang-orang yang yakin. Ketika malam telah menjadi gelap dia melihat sebuah bintang (lalu) dia berkata: “Inilah Tuhanku” Tetapi tatkala bintang itu tenggelam, dia berkata: “Saya tidak suka yang tenggelam”. Kemudian tatkala ia melihat bulan terbit, ia berkata: “Inilah Tuhanku”. Tetapi setelah bulan itu menghilang, dia berkata: “Sesungguhnya jika Tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku, tentulah aku termasuk orang-orang yang sesat”. Kemudian tatkala dia melihat matahari terbit, dia berkata: “Inilah Tuhanku, ini yang lebih besar, maka tatkala matahari itu terbenam, dia berkata: “Hai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu persekutukan. Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi dengan cenderung kepada agama yang benar, dan aku bukanlah termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan.” (Maksud firman Allah S. al An’am: 75-79)

Fitrah manusia bagaikan kain putih dan bersih, ia menolak kekotoran jahiliyah yang mempertuhankan berhala, bahkan dengan kesedaran, segera mencampakkan khurafat itu, lalu, dengan kerinduan yang mendalam, ia bergerak mencari Tuhan yang sebenar, Tuhan yang ia dapati dalam mata hatinya, namun belum ia jumpai dalam daya tangkapnya. Ia cuba mengejar dan mencari tahu semua yang menunjukkan tanda-tanda kebesaran, dengan harapan dapat berjumpa Tuhan yang ia cari-cari. Namun setelah ia mengamati secara mendalam satu-persatu, ternyata; bintang, bulan, matahari dan lain-lain benda adalah bukan Tuhan. Ia mencari lagi dan mencari lagi, akhirnya ia menjumpai hakikat itu, hakikat yang sesuai dengan hakikat yang tertanam dalam kesedaran fitrahnya. Tuhan sebenar yang berhak disembah, tempat mengadu sekalian makhluk dalam kesenangan mahupun dalam kesusahan, yang telah menciptakan seluruh alam termasuk manusia,

Tuhan sebenar tentunya tidak mungkin berbentuk patung dari batu, atau berhala dari kayu. Atau juga manusia yang berlagak minta dipertuhan. Berdasarkan penglihatan jelas, semua yang tersebut itu tidak mencipta, tidak memberi rezki dan tidak mengabulkan permintaan para penyembahnya, jadi apa istimewanya hingga ia mesti disembah? Dijadikan Tuhan? Atau sekalipun setakat perantara di antara Tuhan sebenar dengan para hamba-hamba-Nya?
Demikianlah liku-liku perjalanan Nabi Ibrahim as. dalam mencari Tuhan. Akhirnya ia menjumpai Tuhan sebenar iaitu Allah SWT.

“Dan ingatlah ketika Ibrahim berkata kepada bapaknya Aazar: “Pantaskah kamu menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan? Sesungguhnya aku melihat kamu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata. ” (Maksud firman Allah S. al An’am:74)

Nabi Ibrahim dalam kesehariannya adalah orang yang lemah lembut, akhlaqnya baik dan perangainya sangat terpuji. Namun dalam hal ketegasannya ini, kerana ia sedang memperkatakan masalah aqidah. Sedang aqidah berada di atas ikatan anak dengan ayah, di atas perasaan lembut dan toleran. Dan Allah mahu Nabi Ibrahim dijadikan contoh oleh kaum muslimin.

Ma’rifah terhadap Allah, Mengenali Allah merupakan anugerah dari-Nya yang menjadi asas kenikmatan hidup dan ketenangan menjalani liku-likunya. Rasulullah saw. Memberi gambaran tentang ma’rifah ini dengan sabdanya:

“Sembahlah Allah seakan-akan engkau melihat kepada-Nya. Bila engkau tidak melihat-Nya sesungguhnya Dia melihatmu.”

Khalifah Umar bin Khattab sutu ketika dahulu mendatangi seorang pemuda yang sedang menggembala kambing, seraya berkata mengujinya:

“Wahai anak muda! Aku sangat tertarik pada kambing-kambingmu. Bolehkah aku beli seekor?”
“Tidak boleh! Ini kambing majikan saya, bukan kambing saya. Jawab anak muda.
“Jika kau menjualnya seekor sahaja, tentu majikanmu tidak akan tahu.” Jawab Khalifah mengujinya.
Mendengar perkataan itu, ia terus menjawab tegas: “Fa aina Allah / Kalau begitu dimanakah Allah?.

Anak muda itu faham, kalaupun majikannya tidak melihat perbuatannya, akan tetapi Allah Tuhan tuannya, Maha Melihat dan Maha mengetahui, sekalipun baru lintasan di dalam hati.
Perhatikanlah segala ciptaan Allah termasuk pada dirimu sendiri dan makananmu. Sedarilah bahawa itu semua adalah tanda-tanda kekuasaan-Nya. Dan hiduplah berasaskan ma’rifahmu terhadap-Nya!

“Barangsiapa yang buta di dunia ini (tidak melihat Allah) maka ia juga buta di akhirat nanti, bahkan lebih sesat lagi.” (Maksud firman Allah S. al Hajj: 46)

“Sesungguhnya bukan mata yang buta, tetapi yang buta adalah hati yang ada di dada.”

Antum tidak buta kaaaan?!

Semoga bermanfaat!
Ilal liqa’

Tuesday, March 24, 2009

MARI BERDOA

“Doa itu adalah intinya ibadah”

“Doa itu adalah senjata orang beriman”

“Tiada seorang pun yang berdoa melainkan Allah pasti akan mengabulkan permintaannya atau dihindarkan ia daripada bahaya, atau diampuni sebahagian dosanya selama ia tidak berdoa untuk sesuatu yang menjurus kepada dosa atau untuk memutuskan silatur rahim.”

Selain sabda-sabda di atas, banyak lagi pengajaran dari Nabi Muhammad saw untuk kita yang berhubung kait dengan doa. Misalnya, Jika berdoa, seseorang hendaklah tidak berada dalam keadaan diri penuh dosa, seperti sabda Baginda saw. :

“ Sesungguhnya Allah itu baik, tidak menerima kecuali sesuatu yang baik. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang mu’min sebagaimana Dia memerintahkan para rasul, Dia berfirman: “Wahai para rasul, makanlah dari segala sesuatu yang baik dan lakukanlah amal baik. Dan Dia telah berfirman: “Hai orang-orang yang beriman, makanlah dari apa-apa yang baik yang telah Kami rezkikan padamu. Kemudian Baginda saw menceritakan seorang laki-laki yang telah jauh perjalanannya, berambut kusut penuh dengan debu. Orang itu mengangkat kedua tangannya ke langit dan berdoa: “Wahai Tuhan! Wahai Tuhan!, sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya juga haram dan ia dikenyangkan dengan yang haram, maka bagaimana mungkin permintaannya akan dikabulkan.” (HR. Muslim)

Talian langsung untuk kontak dengan Allah (doa) seharusnya dimanfaatkan betul, terutamanya dalam usaha perjuangan untuk tertegaknya Islam, untuk mencapai kebahagiaan hidup bagi seluruh alam. Usaha hendaklah terus dilakukan, tetapi jangan lupa mengirinya dengan doa. Allah sentiasa mendengar keluhan hamba-Nya, mendengar harapan dan keinginan mereka, dan kemudian mengabulkan segala permintaannya.

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka jawablah, Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku dan juga beriman kepadaKu) agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Maksud firman Allah S. al Baqarah:186)

Allah bahkan menyuruh kita untuk meminta kepada-Nya apa yang kita mahukan dar-Nya.

“Berdoalah kalian kepada-Ku! Niscaya akan Aku perkenankan permintaanmu.” (Maksud firman Allah, S. al Mu'min:60)

Kadang kita berdoa, berdoa lagi, berdoa lagi, tetapi belum juga dikabulkan doa kita itu. Apa yang patut ialah kita bersangka baik terhadap Allah, yakin Allah Maha Bijaksana, Maha Mengetahui apa yang baik untuk kita dan apa yang tidak, apa yang bermanfaat dan apa yang madarat untuk kita. Jadi serahkan sahaja kepada Allah. Dikabulkan doa secara segera atau secara lambat, itu mengikut kemahuan-Nya, bukan mengikut kemahuan kita. Adakah ia dikabulkan di dunia ini atau di akhirat nanti,juga mengikut kemahuan Allah, bukan mengikut kemahuan kita. Apa pun yang Allah pilihkan untuk kita, semuanya baik belaka, jika Allah kabulkan di akhirat, itu bahkan lebih baik lagi, Cuma manusia tidak mengetahui, kerana selalu ingin yang segera. Maka teruslah berdoa, jangan berputus asa, serahkan kepada Allah bila Dia ingin mengabulkan doa tersebut.

Teruskan berdoa!

Semoga bermanfaat, ilal liqa'

Friday, March 20, 2009

MENCARI KETENANGAN

“Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas dan diridhai-Nya. Masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku dan masuklah ke dalam surga-Ku.” (Maksud firman Allah S. al Fajr: 27-30)

Perkara-perkara yang belum terjadi, tidak perlu difikir sangat, kerana ia akan membuat jiwa dan fikiran menjadi risau, bukan itu sahaja, bahkan ia boleh menjadi laluan bagi syaitan menghakis dan menggoncangkan iman.

Seperti berangan-angan mengenai keperluan makan minum untuk hari esok, untuk bulan hadapan atau tahun hadapan dll.

Ketahuilah! jika engkau telah berusaha sungguh-sungguh, dan itu baik untukmu, Allah pasti akan menolongmu, sesungguhnya Dia tidak ingkar janji.

Rasulullah saw bersabda: “Seandainya kalian bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal, niscaya Dia akan memberI kalian rezki sebagaimana Allah selalu memberi burung rezki, yang keluar di pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali dengan perut kenyang. (HR. Tirmizi)

Allah berfirman: “Barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah maka Dia akan mencukupi keperluannya,” (QS. Al Thalaq:3)

Keyakinan sebegini perlu dalam usaha manusia mendapatkan ketenangan jiwa, ketenangan yang menjadi asas kepada tumbuh suburnya perasaan bahagia dalam hidup, dan semua orang ingin memiliki jiwa yang tenang itu.

Seseorang itu merasa tenang kerana memiliki kebebasan. Ia tidak terbelenggu, kerana ia dekat dengan Tuhannya (Tuhan Yang menghidupkannya, Yang memberinya rezki, Yang mematikannya, yang akan menghisabnya, yang akan membalas segala amalnya, Yang menyediakan surga bagi hamba-hamba-Nya), kerana ia sentiasa menempuh jalan-Nya, dan menerima segala qadar dan ketentuan-Nya. Ia seorang yang merdeka.

Seseorang itu merasa tenang kerana, selain memiliki kebebasan ia juga memiliki kelapangan. Ia lapang hati, jiwa dan fikiran di masa suka, juga di masa duka. di masa lapang dan juga di masa sempit. Lapang ketika mendapat apa yang ia inginkan, juga ketika dihalang dari mendapatkannya.

Ia seorang yang memiliki kemerdekaan dan kelapangan, tanpa ragu, tanpa menyimpang, tanpa terombang-ambing dan tanpa rasa takut.

Rasulullah saw. pernah bersabda: “Katakanlah: “Ya Allah sesungguhnya aku memohon kepada-Mu jiwa yang tenang bersama-Mu, jiwa yang meyakini pertemuan dengan-Mu, yang ridha atas ketentuan-Mu dan puas atas pemberian-Mu.” (Diriwayatkan oleh al Hafizh ibnu Asakir dalam biografi Rawahah binti Abi Amr al Auza’I dengan sanadnya dari Abu Umamah)

“Fikirkan apa yang mesti engkau perbuat untuk Allah, bukan memikirkan apa yang Dia akan beri untukmu”.

Segala kerisauan dalam jiwa yang timbul dari angan-angan tentang masa hadapan yang belum pasti, boleh diobati dengan beberapa langkah berikut:

1. Banyak mengingti Allah.
2. Istiqamah dalam mengabdi diri kepada Allah.
3. Sedari bahawa Allah mencukupi segala keperluan makhluk.
4. Sedari bahawa dunia adalah persinggahan sementara, akhirat adalah tempat kembali yang abadi.
5. Ingat! Sebagai hamba, kita diciptakan untuk satu tujuan iaitu mengabdi kepada Allah.
6. Berserahlah kepada Allah niscaya Dia akan mencukupi keperluanmu.
7. Jadikan takwa itu pakaian hidup.
8. Usaha itu ibadah, hasil serahkan kepada Allah Yang Maha menentukan rezki, ajal dan baik buruk nasib kita.
9. Jangan kedekut dengan doa kepada Allah.
10.Segala apa yang menimpa kita adalah suratan takdir, iringi dengan kesabaran di sana ada pahala.

Semoga bermanfaat, Ilal liqa’!

Wednesday, March 18, 2009

Agar Tidak Celaka

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kalian kepada Allah dengan taubat yang sebenar.” (QS. At Tahrim: 8)

Manusia, makhluk istimewa, Allah menciptakannya untuk menjadi khalifah-Nya di atas bumi ini.
Dan lagi, ketika selesai mencipta Adam alaihis salaam, manusia pertama, Allah perintahkan para malaikat bersujud hormat kepadanya.

Tetapi, manusia juga tidak sepi dari dua sifat; salah dan lupa, tidak ma’sum, macam Nabi Muhammad saw. Ertinya, selain istimewa, di segi yang lain manusia juga makhluk lemah.

Oleh itulah Allah menyeru kita manusia, agar sentiasa memohon ampunan dari-Nya, bertaubat kepada-Nya.

Jika berbuat salah, Jangan sekali-kali berputus asa dari rahmat Allah.

“Dan janganlah kamu berputus asa dari (mengharap) rahmat Allah, sesungguhnya tiada berputus asa dari (mengharap) rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.” (QS. Yusuf:87)

Sifat berputus asa adalah di antara ciri-ciri orang-orang kafir, mereka tidak mempercayai Allah, Tuhan yang memiliki sifat-sifat; Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Pemberi, Maha Mengampuni, dan lain-lain.

Jika melakukan amal yang baik, jangan juga merasa bangga dengan amal itu, lalu menganggap diri mulia, merasa mendapat jaminan surga. Bukankah ketaatan itu karunia Allah, tanpa karunia itu, bukankah manusia tiada daya upaya. Allah telah memberinya hidayah, memberinya iman, memberinya kekuatan untuk beramal, jadi amal itu pun merupakan karunia dari Allah, dan mesti disyukuri.
Agar tidak kufur nikmat, mohonlah ampunan, bertaubatlah, dan jadilah orang yang mensyukuri nikmat-nikmat Allah tersebut.

Ketahuilah! Tanda-tanda orang yang celaka adalah sebagai berikut:
1. Setiap kali bertambah ilmu, semakin bertambah pula kesombongannya.
2. Setiap kali bertambah amal, semakin bertambah rasa bangganya terhadap diri sendiri dan memandang rendah orang lain, semangkin bertambah pula sangka baiknya terhadap dirinya.
3. Semangkin meningkat usia, semangkin bertambah tamaknya terhadap dunia.
4. Semakin bertambah harta dan kekayaannya, semakin bertambah sifat kedekutnya.
5. Semakin meningkat kedudukan dan pangkatnya, semakin bertambah pula sikap angkuhnya.

“Di antara tanda-tanda penyakit bangga terhadap amal ialah kurangnya rasa harap akan rahmat Allah ketika menghadapi kegagalan Dan tiadanya sikap syukur kepada Allah ketika mendapat kejayaan.”

Friday, February 20, 2009

PANDUAN MEMELIHARA KETAKWAAN

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam. Ali Imran :102

Setiap muslim, tentunya telah mengucap “Asyhadu allaa ilaha illallah wa asyhadu annaa Muhammadar rasulullah” Ia mestilah memahami erti ikrar ini dan mampu merealisasikan nilai-nilainya dalam realiti kehidupan. Selain itu ia juga dituntut untuk istiqamah, dalam erti mempertahankan keimanan, dengan memelihara ketaatan baik dalam kehidupan peribadinya, kehidupan berkeluarga, kehidupan bermasyarakat, berbangsa dan bernegara, sehinggalah ia menemui tuhannya dalam keadaan husnul khatimah.

“Maka tetaplah (istiqomahlah) kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”(QS 11:112)

ketakwaan, jika tidak dipelihara, akan mengalami penurunan, atau bahkan hilang sama sekali.
Beberapa langkah berikut adalah perlu untuk dapat mempertahankan nilai ketakwaan yang sudah ada dan meningkatkan kualitinya.

Pertama, Muraqabah
Iaitu perasaan seorang hamba bahawa dirinya sentiasa dalam pemerhatian Allah, lalu timbul usaha mendekatkan diri kepada-Nya, mentaati perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya serta memiliki rasa malu dan takut, apabila menjalankan hidup tidak sesuai dengan syariat-Nya.

..... Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Maksud firman Allah dalam Surah al-Hadiid (57) : 4)

Ketika ditanya tentang ihsan, Rasulullah saw. Bersabda: “Kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, dan apabila kamu tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihat kamu.” (HR al-Bukhari)

Kedua, Mu’ahadah
Iaitu menyedari akan janji setia untuk sentiasa iltizam terhadap nilai-nilai kebenaran Islam. Setiap muslim telah menyatakan janji tersebut di hadapan Allah SWT.

“Dan tepatilah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu membatalkan sumpah-sumpah(mu) itu, sesudah meneguhkannya, sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai saksimu (terhadap sumpah-sumpahmu itu). Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu perbuat.” (an-Nahl (16) : 91)

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.” (al-Anfaal (8) : 27)

Ketiga, Muhasabah
Iaitu melakukan perhitungan atas segala perbuatannya.

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (al-Hasyr (59) : 18)

Nabi saw bersabda: “Orang yang cerdik adalah orang yang menghisab dirinya dan beramal untuk manfaat selepas kematiannya. Adapun orang yang lemah adalah orang yang mengikuti pada hawa nafsu dan berangan-angan pada Allah.” (HR. Ahmad)

Umar bin Khattab ra berkata, “Hisablah dirimu sebelum dihisab, dan timbanglah amalmu sebelum ditimbang ….”

Keempat, Mu’aqabah
Iaitu memberian hukuman kepada diri sendiri atas kelalaian yang dilakukannya.

Dalam sebuah riwayat disebutkan bahwa Umar bin Khaththab ra pergi ke kebunnya. Ketika ia pulang, maka didapatinya orang-orang sudah selesai melaksanakan Shalat Ashar. Maka beliau berkata, “Aku pergi hanya untuk sebuah kebun, aku pulang orang-orang sudah shalat Ashar! Kini, aku menjadikan kebunku sedekah untuk orang-orang miskin.”

Kelima Mujahadah (Optimalisasi)
Iaitu memaksimakan ibadah dengan menjalankan seluruh nilai-nilai Islam dalam kehidupan.

“Hai orang-orang yang beriman, ruku’lah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Tuhanmu dan perbuatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan. Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya…” (al-Hajj (22) : 77-78)

“Rasulullah saw. melaksanakan shalat malam hingga kedua tumitnya bengkak. Aisyah ra. pun bertanya, ‘Mengapa engkau lakukan hal itu, padahal Allah telah menghapuskan segala dosamu?’ Maka, Rasulullah saw. menjawab, ‘Bukankah sudah sepantasnya aku menjadi seorang hamba yang bersyukur.’” (HR. al-Bukhari Muslim)

Semoga Allah beri kita kekuatan untuk terus istiqamah di jalan-Nya. Aamiin

Thursday, February 12, 2009

OBAT HATI

“Sesungguhnya bukanlah mata yang buta, tetapi yang buta adalah hati yang ada di dalam dada.” (S. al Hajj:46)

Orang sanggup membelanjakan harta, berapa pun banyaknya, untuk mengobati penyakit yang diderita tubuhnya. Selain penyakit fizikal, ada lagi yang lain, iaitu penyakit hati. Banyak yang tidak menyedari bahawa penyakit yang satu ini lebih berbahaya. Hati yang berpenyakit, melahirkan kekeringan ruhani, kegersangan ukhuwwah, kekerasan perasaan, hasad atau dengki, perselisihan, permusuhan, juga melahirkan perilaku curang dan jahat, melahirkan perbuatan maksiat.

Penderitaan yang timbul dari penyakit fizikal, betapa pun dahsyatnya, akan berakhir dengan kematian tubuh, tetapi penderitaan dari penyakit hati akan berterusan hingga memasuki kehidupan kedua selepas mati, yang dikatakan sebagai kehidupan sebenar.

Penyakit berbahaya yang menimpa para da’ie, aktivis, para ustaz bahkan para ulama ialah menyimpangnya orientasi, motivasi dan tujuan kerja-kerja dakwahnya dari mengharap ridha Allah dan surga-Nya kepada meraih kepuasan dunia dan segala kenikmatannya.

Imam al Gazali pernah ditanya: “Adakah mungkin para ulama saling berselisih? Imam al Gazali menjawab: “Mereka akan berselisih jika memasuki kepentingan dunia mereka.”

Maka, menjaga kesihatan hati dan mengobati hati dari serangan penyakit-penyakitnya mestilah diberi keutamaan.

Obat segala penyakit hati ialah Ikhlas. Memahami hakikat ketuhanan Allah dan mengimani-Nya, kemudian memurnikan seluruh kehidupan hanya untuk-Nya.
Ikhlas juga merupakan buah keimanan dan syarat bagi diterimanya setiap amal.

Dalam himpunan hadis shahihnya, Imam Muslim meriwayatkan, dari Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu, Saya mendengar Rasulullah saw. Bersabda:
“Sesungguhnya manusia yang pertama dihisab pada Hari Kiamat ialah seorang yang mati syahid. Ia pun didatangkan. Ia diceritakan tentang kenikmatan yang akan diterimanya dan ia pun mengetahui.
Berkata Allah: "Apa yang kamu lakukan di dunia?
Berkata si syahid, “Saya berperang di jalan-Mu sehingga mati syahid.”
Berkata Allah: “Bohong! Kamu berperang supaya dikatakan pemberani dan hal itu telah kamu dapatkan.” Kemudian malaikat diperintahkan untuk membawanya dengan mengheret wajahnya, lalu melemparkannya ke dalam api neraka.
Kemudian didatangkan seorang yang belajar ilmu dan mengajarkan serta membaca al Quran. Ia pun dikenalkan dengan kenikmatan dan ia mengetahuinya.
Ia pun ditanya: “Apa yang kamu lakukan di dunia?”
Ia menjawab: “Saya belajar ilmu dan mengajarkannya, serta membaca al Quran semata-mata kerana Engkau.”
Allah berkata: “Bohong! Kamu belajar ilmu supaya dikatakan manusia bahawa kamu alim dan kamu membaca al Quran supaya kamu disebut Qari’. Semua itu sudah kau dapatkan.
Setelah itu, malaikat pun diperintahkan membawanya dengan mengheret wajahnya dan melemparkannya ke dalam api neraka.
Kemudian didatangkan pula seorang yang diberi kelapangan rezki dan menginfaqkannya dari semua jenis hartanya. Dikenalkan padanya kenikmatan yang akan diperoleh dan dia pun mengetahuinya.
Allah berkata: “Apa yang kamu lakukan di dunia?”
Ia berkata: “Tidak ada jalan yang Engkau cintai agar manusia berinfaq di jalan itu kecuali aku berinfaq di jalan itu kerana-Mu.”
Allah berkata: “Bohong! Kamu melakukannya supaya disebut dermawan dan itu telah kamu dapatkan.” Kemudian malaikat diperintahkan untuk membawanya dengan mengheret wajahnya dan melemparkannya ke dalam neraka.

Kita mohon kepada Allah perlindungan dari bencana penyakit yang berbahaya ini.
“Sesungguhnya Allah tidak menerima amal kecuali dilakukan dengan ikhlas dan mengharap ridha-Nya. (Maksud al hadis)
"Katakanlah: "Sesungguhnya shalatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan sekalian alam." (Maksud firman Allah Surah al An'am:162)

Monday, February 9, 2009

CONTOH DARI KEHIDUPAN SAHABAT

Allah telah memberi Sa’id bin Amir al Jumahy hidayah, ia memeluk Islam, kemudian ia buang berhala-berhala yang dipujanya selama ini. lalu ia berpidato di hadapan orang ramai: “Alangkah bodohnya orang Quraisy menyembah berhala.”
Ia ikut berhijrah ke Madinah, di sana ia mendampingi Rasulullah saw, ikut berjihad bersama baginda, dalam peperangan Khaibar dan dalam peperangan-peperangan berikutnya. Setelah kewafatan Nabi saw, Said menjadi pembela setia Khalifah Abu Bakar dan Umar radhiyallahu anhuma.
Said merupakan peribadi yang lebih mengutamakan keridaan Allah dan pahala-Nya di atas segala keinginan hawa nafsu dan kehendak jasad. Ia telah membeli kehidupan akhirat dengan kehidupan dunia.
Ketika Umar diangkat menjadi khalifah menggantikan Abu Bakar, Sa’id mendatanginya, bukan untuk meminta jawatan, tetapi untuk memberinya nasihat,:
“Hai Umar! Takutlah kepada Allah dalam memerintah manusia. Dan Jangan engkau takut kepada manusia dalam menjalankan agama Allah!. Jangan berkata yang menyalahi perbuatan. Kerana sebaik-baik perkataan ialah yang dibuktikan dengan perbuatan.
“Hai Umar! Tunjukkanlah seluruh perhatian anda kepada urusan kaum muslimin, baik yang jauh mahupun yang dekat. Berikan kepada mereka apa yang anda dan keluarga anda sukai. Jauhkan dari mereka apa-apa yang anda dan keluarga anda tidak sukai. Arahkan semua karunia Allah kepada yang baik. Jangan ambil peduli cacian orang-orang yang suka mencaci!”
“Siapakah yang sanggup melaksanakansemua itu hai Sa’id?” Tanya Khalifah Umar.
“Tentu orang seperti anda! Bukankah anda telah diberi amanah oleh Allah untuk memerintah umat Muhammad ini? Bukankah di antara anda dengan Allah tidak ada lagi suatu penghalang?” Jawab Sa’id meyakinkan.
Pada suatu ketika Khalifah Umar memanggil Sa’id dan berkata: “Hai Sa’id! Engkau aku angkat menjadi Gabenor di daerah Hims.”
Wahai Umar! Saya memohon kepada Allah agar anda tidak mendorong saya cenderung kepada dunia” Jawab Sa’id.
Umar tidak melayan permintaan Sa’id, ia pun dilantik menjadi Gabernor. Setelah perlantikan, Umar bertanya: “Berapa gaji yang engkau inginkan?
“Apa yang akan saya perbuat dengan gaji itu, wahai Amirul mu’minin? Bukankah apa yang saya dapat dari Baitul Mal sudah mencukupi? Jawab Sa’id.
Setelah beberapa masa berlalu, Umar memanggil beberapa orang penduduk Hims yang telah diberi tugas mengawasi jalannya pemerintahan, untuk memberi laporan. Ternyata nama Sa’id bin Amir termasuk dalam senarai fakir miskin yang perlu diberi bantuan. Seringkali di rumahnya tidak kelihatan tanda-tanda orang memasak.
Umar sedih mengenangkan keadaan Sa’id, ia pun mengirimkan untuknya wang untuk meringankan masalah rumahtangganya. Setelah mendapat kiriman dari khalifah berupa bungkusan berisi wang, ia pun terkejut seraya berkata: “Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun” seakan musibah besar telah menimpa dirinya.
Isterinya bertanya: “Apa yang terjadi hai Sa’id?, Meninggalkah Amirul Mu’minin?
“Bahkan lebih besar dari itu!” Jawab Sa’id sedih.
“Apakah tentera muslimin kalah berperang?” Tanya isterinya pula
“Jauh lebih besar dari itu!” Jawab Sa’id tetap sedih.
“Apa pula gerangan yang lebih besar dari itu?” Tanya isterinya tak sabar.
“Dunia telah datang untuk merusak akhiratKu. Bencana telah menyusup ke rumah tangga kita.” Jawab Sa’id tegas.
“Bebaskan dirimu daripadanya!” kata isteri Sa’id memberi semangat, tanpa mengetahui perihal adanya bungkusan wang dari Khalifah untuk suaminya.
“Mahukah engkau menolongku berbuat demikian?” Tanya Sa’id.
“Tentu..!” Jawab isterinya bersemangat.
Maka Sa’id mengambil bungkusan wang itu, lalu disuruhnya isterinya membahagi-bahagikannya kepada fakir miskin.

Tuesday, February 3, 2009

ISTIQAMAH

Dari Abu Amr Sufyan bin Abdillah Ats-Tsaqafy ra. Berkata, Aku berkata “Wahai Rasulullah, katakanlah kepadaku suatu perkataan tentang Islam, yang tidak akan saya tanyakan kepada seorang pun selain engkau.’ Beliau bersabda, “katakanlah: Amantu Billah (Aku beriman kepada Allah) lalu istiqamahlah.” (RH.Muslim)

Al kisah, Khubaib bin ‘Ady seorang sahabat Nabi saw, ia ditangkap oleh Kafir Quraisy lalu dijatuhi hukuman mati tanpa sebab. Sebelum dibunuh, ia dipertontonkan di halayak ramai dengan tangannya terbelenggu, sementara kaum wanita, anak-anak dan pemuda dikerahkan untuk menggiring Khubaib ke tiang Salib di tengah tanah lapang dan menyaksikan pelaksanaan hukuman bunuh. Mereka ingin membalas dendam terhadap Nabi Muhammad saw dan melampiaskan rasa sakit hati atas kekalahan mereka dalam perang Badar.

Khubaib berkata mantap: “Jika kalian izinkan, saya ingin shalat dua rakaat sebelum saya kalian bunuh.” Permintaannya dikabulkan, ia pun menghadap Kiblat dan dengan tenang ia shalat dua rakaat.

Setelah shalat, ia memandang para pemimpin Quraisy seraya berkata: “Demi Allah! Seandainya kalian tidak akan menuduhku melama-lamakan shalat untuk memperlambat waktu kerana takut mati, niscaya saya akan shalat lebih lama lagi.”

Mendengar itu para pemimpin Quraisy naik darah bagaikan hendak mencincang-cincang tubuh Khubaib hidup-hidup. Mereka berkata: “Sukakah engkau si Muhammad menggantikan engkau, kemudian engkau kami bebaskan?

Khubaib menjawab mantap: “Saya tidak ingin bersenang-senang dengan isteri dan anak-anak saya, sementara Muhammad tertusuk duri…”.

Bunuh dia…!, bunuh dia…! Teriak orang ramai.

Khubaib mengarahkan pandangannya ke langit sambil berdo’a: “Ya Allah! Hitunglah jumlah mereka! Hancurkanlah mereka semua, jangan sisakan seorang pun jua!

Tidak lama kemudian Khubaib menghembuskan nafasnya yang terakhir, sekujur tubuhnya penuh dengan luka-luka kerana tebasan pedang dan tikaman tombak yang tak terbilang jumlahnya.

Keberanian Khubaib, ketabahan, ketenangan menghadapi maut merupakan buah keimanan dan istiqamahnya dalam perjuangan. Ia telah memberi pelajaran yang perlu dijadikan pegangan hidup, iaitu:

1. Hidup yang sebenar ialah hidup beraqidah; kemudian berjuang mempertahankan aqidah itu sampai mati.

2. Keimanan yang telah terhunjam dalam hati seseorang dapat menimbulkan perkara-perkara ajaib dan luar biasa.

3. Orang yang paling dicintai Khubaib melebihi kecintaannya terhadap isteri dan anak-anaknya ialah sahabatnya, iaitu seorang Nabi yang dikukuhkan dari langit.

Allah telah berfirman ;

“Sesungguhnya orang-orang yang berkata, “Tuhan kami adalah Allah” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat-malaikat akan turun kepada mereka (dengan berkata),”Janganlah kamu merasa takut dan jangan kamu bersedih hati; dan bergembiralah kamu dengan (memperoleh) surga yang telah dijanjikan kepadamu.” Kamilah pelindung-pelindungmu dalam kehidupan dunia dan akhirat; didalamnya (Syurga) kamu memperoleh apa yang kamu inginkan dan memperoleh apa yang kamu minta. Sebagai penghormatan (bagimu) dari Allah yang Maha Pengampun, Maha Penyayang. (QS Fushilat .41: 30.32)

 
Copyright HIKMAH-BINTULU © 2008 Free Blogger Template By Cool Stuff Blog