Friday, March 20, 2009

MENCARI KETENANGAN

“Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas dan diridhai-Nya. Masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku dan masuklah ke dalam surga-Ku.” (Maksud firman Allah S. al Fajr: 27-30)

Perkara-perkara yang belum terjadi, tidak perlu difikir sangat, kerana ia akan membuat jiwa dan fikiran menjadi risau, bukan itu sahaja, bahkan ia boleh menjadi laluan bagi syaitan menghakis dan menggoncangkan iman.

Seperti berangan-angan mengenai keperluan makan minum untuk hari esok, untuk bulan hadapan atau tahun hadapan dll.

Ketahuilah! jika engkau telah berusaha sungguh-sungguh, dan itu baik untukmu, Allah pasti akan menolongmu, sesungguhnya Dia tidak ingkar janji.

Rasulullah saw bersabda: “Seandainya kalian bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal, niscaya Dia akan memberI kalian rezki sebagaimana Allah selalu memberi burung rezki, yang keluar di pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali dengan perut kenyang. (HR. Tirmizi)

Allah berfirman: “Barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah maka Dia akan mencukupi keperluannya,” (QS. Al Thalaq:3)

Keyakinan sebegini perlu dalam usaha manusia mendapatkan ketenangan jiwa, ketenangan yang menjadi asas kepada tumbuh suburnya perasaan bahagia dalam hidup, dan semua orang ingin memiliki jiwa yang tenang itu.

Seseorang itu merasa tenang kerana memiliki kebebasan. Ia tidak terbelenggu, kerana ia dekat dengan Tuhannya (Tuhan Yang menghidupkannya, Yang memberinya rezki, Yang mematikannya, yang akan menghisabnya, yang akan membalas segala amalnya, Yang menyediakan surga bagi hamba-hamba-Nya), kerana ia sentiasa menempuh jalan-Nya, dan menerima segala qadar dan ketentuan-Nya. Ia seorang yang merdeka.

Seseorang itu merasa tenang kerana, selain memiliki kebebasan ia juga memiliki kelapangan. Ia lapang hati, jiwa dan fikiran di masa suka, juga di masa duka. di masa lapang dan juga di masa sempit. Lapang ketika mendapat apa yang ia inginkan, juga ketika dihalang dari mendapatkannya.

Ia seorang yang memiliki kemerdekaan dan kelapangan, tanpa ragu, tanpa menyimpang, tanpa terombang-ambing dan tanpa rasa takut.

Rasulullah saw. pernah bersabda: “Katakanlah: “Ya Allah sesungguhnya aku memohon kepada-Mu jiwa yang tenang bersama-Mu, jiwa yang meyakini pertemuan dengan-Mu, yang ridha atas ketentuan-Mu dan puas atas pemberian-Mu.” (Diriwayatkan oleh al Hafizh ibnu Asakir dalam biografi Rawahah binti Abi Amr al Auza’I dengan sanadnya dari Abu Umamah)

“Fikirkan apa yang mesti engkau perbuat untuk Allah, bukan memikirkan apa yang Dia akan beri untukmu”.

Segala kerisauan dalam jiwa yang timbul dari angan-angan tentang masa hadapan yang belum pasti, boleh diobati dengan beberapa langkah berikut:

1. Banyak mengingti Allah.
2. Istiqamah dalam mengabdi diri kepada Allah.
3. Sedari bahawa Allah mencukupi segala keperluan makhluk.
4. Sedari bahawa dunia adalah persinggahan sementara, akhirat adalah tempat kembali yang abadi.
5. Ingat! Sebagai hamba, kita diciptakan untuk satu tujuan iaitu mengabdi kepada Allah.
6. Berserahlah kepada Allah niscaya Dia akan mencukupi keperluanmu.
7. Jadikan takwa itu pakaian hidup.
8. Usaha itu ibadah, hasil serahkan kepada Allah Yang Maha menentukan rezki, ajal dan baik buruk nasib kita.
9. Jangan kedekut dengan doa kepada Allah.
10.Segala apa yang menimpa kita adalah suratan takdir, iringi dengan kesabaran di sana ada pahala.

Semoga bermanfaat, Ilal liqa’!

0 comments:

 
Copyright HIKMAH-BINTULU © 2008 Free Blogger Template By Cool Stuff Blog