Monday, February 9, 2009

CONTOH DARI KEHIDUPAN SAHABAT

Allah telah memberi Sa’id bin Amir al Jumahy hidayah, ia memeluk Islam, kemudian ia buang berhala-berhala yang dipujanya selama ini. lalu ia berpidato di hadapan orang ramai: “Alangkah bodohnya orang Quraisy menyembah berhala.”
Ia ikut berhijrah ke Madinah, di sana ia mendampingi Rasulullah saw, ikut berjihad bersama baginda, dalam peperangan Khaibar dan dalam peperangan-peperangan berikutnya. Setelah kewafatan Nabi saw, Said menjadi pembela setia Khalifah Abu Bakar dan Umar radhiyallahu anhuma.
Said merupakan peribadi yang lebih mengutamakan keridaan Allah dan pahala-Nya di atas segala keinginan hawa nafsu dan kehendak jasad. Ia telah membeli kehidupan akhirat dengan kehidupan dunia.
Ketika Umar diangkat menjadi khalifah menggantikan Abu Bakar, Sa’id mendatanginya, bukan untuk meminta jawatan, tetapi untuk memberinya nasihat,:
“Hai Umar! Takutlah kepada Allah dalam memerintah manusia. Dan Jangan engkau takut kepada manusia dalam menjalankan agama Allah!. Jangan berkata yang menyalahi perbuatan. Kerana sebaik-baik perkataan ialah yang dibuktikan dengan perbuatan.
“Hai Umar! Tunjukkanlah seluruh perhatian anda kepada urusan kaum muslimin, baik yang jauh mahupun yang dekat. Berikan kepada mereka apa yang anda dan keluarga anda sukai. Jauhkan dari mereka apa-apa yang anda dan keluarga anda tidak sukai. Arahkan semua karunia Allah kepada yang baik. Jangan ambil peduli cacian orang-orang yang suka mencaci!”
“Siapakah yang sanggup melaksanakansemua itu hai Sa’id?” Tanya Khalifah Umar.
“Tentu orang seperti anda! Bukankah anda telah diberi amanah oleh Allah untuk memerintah umat Muhammad ini? Bukankah di antara anda dengan Allah tidak ada lagi suatu penghalang?” Jawab Sa’id meyakinkan.
Pada suatu ketika Khalifah Umar memanggil Sa’id dan berkata: “Hai Sa’id! Engkau aku angkat menjadi Gabenor di daerah Hims.”
Wahai Umar! Saya memohon kepada Allah agar anda tidak mendorong saya cenderung kepada dunia” Jawab Sa’id.
Umar tidak melayan permintaan Sa’id, ia pun dilantik menjadi Gabernor. Setelah perlantikan, Umar bertanya: “Berapa gaji yang engkau inginkan?
“Apa yang akan saya perbuat dengan gaji itu, wahai Amirul mu’minin? Bukankah apa yang saya dapat dari Baitul Mal sudah mencukupi? Jawab Sa’id.
Setelah beberapa masa berlalu, Umar memanggil beberapa orang penduduk Hims yang telah diberi tugas mengawasi jalannya pemerintahan, untuk memberi laporan. Ternyata nama Sa’id bin Amir termasuk dalam senarai fakir miskin yang perlu diberi bantuan. Seringkali di rumahnya tidak kelihatan tanda-tanda orang memasak.
Umar sedih mengenangkan keadaan Sa’id, ia pun mengirimkan untuknya wang untuk meringankan masalah rumahtangganya. Setelah mendapat kiriman dari khalifah berupa bungkusan berisi wang, ia pun terkejut seraya berkata: “Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun” seakan musibah besar telah menimpa dirinya.
Isterinya bertanya: “Apa yang terjadi hai Sa’id?, Meninggalkah Amirul Mu’minin?
“Bahkan lebih besar dari itu!” Jawab Sa’id sedih.
“Apakah tentera muslimin kalah berperang?” Tanya isterinya pula
“Jauh lebih besar dari itu!” Jawab Sa’id tetap sedih.
“Apa pula gerangan yang lebih besar dari itu?” Tanya isterinya tak sabar.
“Dunia telah datang untuk merusak akhiratKu. Bencana telah menyusup ke rumah tangga kita.” Jawab Sa’id tegas.
“Bebaskan dirimu daripadanya!” kata isteri Sa’id memberi semangat, tanpa mengetahui perihal adanya bungkusan wang dari Khalifah untuk suaminya.
“Mahukah engkau menolongku berbuat demikian?” Tanya Sa’id.
“Tentu..!” Jawab isterinya bersemangat.
Maka Sa’id mengambil bungkusan wang itu, lalu disuruhnya isterinya membahagi-bahagikannya kepada fakir miskin.

0 comments:

 
Copyright HIKMAH-BINTULU © 2008 Free Blogger Template By Cool Stuff Blog