Wednesday, October 7, 2009

BERSERAH DIRI KEPADA ALLAH

“Maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah”. (S. Luqman/31:33)

Di antara penghalang ma’rifatullah ialah penyakit hati berupa kesombongan.

Kesombongan sudah dikenali sejak zaman penciptaan manusia pertama iaitu Adam as.

Allah berfirman: 34. dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir. (S. Al Baqarah/2) 12. Allah berfirman: "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (Wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah." (S. al A’raf/7)

Bermula dari merasa diri mulia, lalu merasa diri melebihi orang lain, lalu diiringi dengan menganggap orang lain lebih hina. Maka lengkaplah untuk disebut takbur atau sombong.

Padahal Allah-lah yang memberinya kemuliaan. Bahkan kejadian dirinya itu adalah kehendak dari Allah. Bukan hasil usaha dari dirinya sendiri.

Kesombongan menutup hati pemiliknya untuk menyedari hakikat diri, hakikat Pencipta yang memberinya segala nikmat, termasuklah apa yang dianggapnya sebagai kemuliaan diri. Itulah kekufuran yang membawa kepada kehinaan.


13. Allah berfirman: "Turunlah Engkau dari syurga ini, kerana tidak patut Engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, Sesungguhnya Engkau dari golongan Yang hina".(S. al A’raf/7)

Selain Iblis, Allah menceritakan kisah seorang manusia bernama Qarun.

76. Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: "Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu). (S. al Qashash/28)


78. Qarun menjawab (dengan sombongnya): "Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian Yang ada padaku". (S. al Qashash/28)


81. lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah ia mendapat sebarang golongan Yang boleh menolongnya dari azab Allah" dan ia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri. (S. al Qashash/28)

Mengobati penyakit sombong.

Ingatlah bahawa segala sesuatu itu adalah milik Allah, apa yang manusia miliki adalah dari Allah, maka bersyukur kepada Allah atas segala nikmat-Nya, itulah sikap yang mesti ada.

Bersyukur kepada-Nya ialah dengan mentauhidkan-Nya, tidak menyekutukan-Nya dengan yang lain, mengutamakan-Nya dan berserah diri kepada-Nya.

Allah telah menceritakan kisah hamba-Nya Nabi Sulaiman as. Ia diberi banyak nikmat, menguasai berbagai bahasa, manusia, haiwan bahkan makhluk halus seperti jin dan lainnya. Ia juga diberi kekayaan luar biasa, bahkan juga memiliki kekuasaan yang luas. Ia sedar bahawa semua itu adalah kehendak dan karunia Allah. Ia tidak pernah merasa sombong, kerana yakin bahawa tanpa pertolongan Allah manusia tak berharga sama sekali. Segala nikmat itu tidak membuatnya lupa, bahkan tambah mengingatkannya lagi kepada Yang memberi nikmat iaitu Allah.

berkatalah ia (Nabi Sulaiman as.): "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana Sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah". (Surah an Nml/27:40)

0 comments:

 
Copyright HIKMAH-BINTULU © 2008 Free Blogger Template By Cool Stuff Blog